logo text

Bahasa Lain

aren

Log Masuk

Log Masuk

TEKS UCAPAN PERASMIAN

YB LOKE SIEW FOOK,

MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA

SEMPENA

MAJLIS PELANCARAN OPS BERSEPADU DAN KEMPEN KESELAMATAN JALAN RAYA BERSEMPENA PERAYAAN TAHUN BARU CINA  PERINGKAT KEBANGSAAN

TAHUN 2020

KAWASAN REHAT DAN RAWAT (RNR), TAPAH, PERAK.

16 JANUARI 2020 (KHAMIS) 

9.30 PAGI

Terima kasih Saudara Pengacara Majlis.

SALUTASI

           

Selamat pagi dan Salam Sejahtera.

Pada pagi ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih pada semua para hadirin kerana dapat bersama-sama hadir di Majlis Pelancaran Ops Bersepadu Dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Perayaan Tahun Baru Cina bagi tahun 2020.

Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Perak yang merupakan penyelaras utama OPS Bersepadu ini yang telah berjaya diadakan pada kali kelima pada tahun ini semenjak tahun 2016.

Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah berganding bahu bagi menjayakan OPS Bersepadu di Peringkat Kebangsaan pada kali ini bermula pada hari 18 Januari hingga 1 Februari 2020. Jabatan dan agensi-agensi yang terlibat dalam OPS Bersepadu ini adalah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), PLUS, Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Jabatan Kecemasan dan Trauma di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kerja Raya serta agensi-agensi kerajaan lain, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak dapat saya sebutkan satu persatu.

Untuk makluman para hadirin sekalian, hampir sepuluh ribu (10,000) pegawai dan anggota penguatkuasa termasuk 6,040 daripada PDRM, 1,800 daripada JPJ, 150 daripada JKJR serta jabatan dan agensi sokongan yang lain, akan bertugas sepanjang masa dalam tempoh OPS Bersepadu ini bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik bagi pengguna-pengguna jalan raya. Pihak PLUS juga akan mengerakkan lebih 5,000 petugas untuk memastikan kelancaran dan keselesaan pengguna lebuh raya. Malah, saya difahamkan pihak PLUS juga melaksanakan pemantauan trafik mengunakan drone di lokasi-lokasi strategik di lebuhraya pada waktu puncak.

Tuan-tuan dan Puan-puan,                                                     

OPS Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya pada tahun 2020 adalah bertemakan “Pandu Cermat, Sampai Selamat” yang merangkumi 4 program utama iaitu program pendidikan, penguatkuasaan, pencegahan bersekali dengan pemantauan dan penilaian. Ia adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya untuk sentiasa cermat dan berhemah dalam pemanduan di jalan raya  agar dapat tiba dengan selamat dipangkuan keluarga tercinta sekaligus mengurangkan jumlah kemalangan semasa musim perayaan ini.

Untuk makluman para hadirin sekalian, sepanjang tahun 2019, sebanyak 6,167 kematian dicatatkan,  kemalangan pula sebanyak 567,516 dan kemalangan maut sebanyak 5,764 kes dimana terdapat penurunan sebanyak 117 berbanding tahun 2019. Bagi Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Perayaan Tahun Baru Cina tahun 2019 telah merekodkan sebanyak 20,829 kemalangan berbanding 21,041 kemalangan pada tahun 2018. Untuk tempoh yang sama, sebanyak 216 kematian akibat kemalangan jalan raya telah direkodkan berbanding 226 kematian pada tahun 2018 di mana terdapat penurunan sebanyak 10 kes kematian. Pada pandangan saya angka kematian 216 pengguna jalan raya untuk tempoh dua minggu semasa musim perayaan adalah masih tinggi dan harapan saya adalah supaya semua pihak yang terlibat termasuklah pengguna-pengguna jalan raya berusaha untuk mengurangkan angka ini. 

Berdasarkan kepada statistik yang lepas, kebanyakan kemalangan jalan raya berlaku di jalan-jalan persekutuan, jalan bandaran dan jalan luar bandar. Oleh itu, saya mengharapkan agar pihak PDRM dan JPJ akan memberi tumpuan kepada operasi mereka di jalan-jalan ini. Dalam usaha ini, kerjasama di antara Kerajaan Negeri, Majlis Kerajaan Tempatan serta agensi-agensi penguatkuasa di peringkat negeri juga harus dipertingkatkan bagi memastikan jumlah kemalangan dapat dikurangkan pada tahun ini.

Program Penguatkuasaan

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Penguatkuasaan undang-undang jalan raya yang lebih tegas akan dilaksanakan sepanjang tempoh pelaksanaan OPS Bersepadu ini untuk memastikan pergerakan kenderaan lebih selamat dan terkawal bagi mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya. Program penguatkuasaan yang akan diadakan semasa Kempen Keselamatan Jalan Raya dan OPS Bersepadu bersempena dengan sambutan Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Kebangsaan Tahun 2020 merangkumi aktiviti-aktiviti seperti

PDRM

  1. Kempen OPS Selamat mulai 18 Januari sehingga 1 Februari 2020,
  2. Rondaan penguatkuasaan melalui unit subtek (pusat operasi di empat zon utama negara iaitu Zon Utara, Zon Tengah, Selatan dan Zon Timur) bagi memastikan pengguna-pengguna jalan raya mematuhi peraturan-peraturan lalu lintas yang ditetapkan serta melicinkan proses pelaksanaan OPS Selamat.

Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ)

  1. Penglibatan seramai 2200 orang anggota penguatkuasa JPJ dalam OPS Tahun Baru Cina 2020;

  1. JPJ akan menjalankan Pra-OPS bermula dari 11 hingga 17 Januari 2020 yang melibatkan pemeriksaan bas di 75 buah depoh dan 28 terminal bas utama seluruh negara bagi tujuan memastikan bas berada dalam keadaan road worthiness;

  1. Inisiatif JPJ dalam mengurangkan kemalangan dan kematian sepanjang tempoh pelaksanaan OPS Bersepadu ini dengan kaedah penyamaran sebagai penumpang bas ekspress;

Pihak AADK akan turut serta bagi melaksanakan ujian air kencing ke atas pengguna jalan raya khususnya pemandu-pemandu bas dan lori secara rawak bagi membendung penyalahgunaan dadah.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Kawalan dan sekatan dalam tempoh Ops Bersepadu

Seperti setiap tahun, terdapat beberapa kawalan yang akan dilaksanakan menjelang setiap musim perayaan. Ini termasuk larangan ke atas kenderaan barangan tertentu pada 23 dan 24 Januari 2020 (Sebelum) serta 27 dan 28 Januari 2020 (Selepas).

Selain itu, program pencegahan dan pemantauan semasa tempoh Ops dan Kempen akan dilaksanakan oleh pihak Jabatan kerja Raya (JKR) bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya serta menjamin tahap keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya. Kerja-kerja penyelenggaraan dan pembinaan di kawasan lebuh raya, jalan persekutuan dan jalan negeri akan dihentikan, semua jentera dan peralatan akan dialihkan sepanjang tempoh operasi ini dijalankan. Kementerian Kerja Raya (KKR) juga akan mewartakan penurunan had laju sebanyak 10 km/j bagi jalan persekutuan dan jalan negeri bagi tempoh yang sama; (Jalan Persekutuan 80 km/j manakala Jalan Negeri 70 km/j).

Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Jabatan Kecemasan dan Trauma dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) juga akan bersiap sedia selama 24 jam bagi memberi bantuan kecemasan kepada mangsa kemalangan atau nahas yang mungkin berlaku. Bagi maksud tersebut, JBPM dan APM akan membuka bilik gerakan serta mengadakan rondaan dengan memberi tumpuan di kawasan kerap berlaku kemalangan. Begitu juga dengan St John Ambulance dan Persatuan Agensi Pemasaran Bengkel Automotif Malaysia (MAWMAA) yang sentiasa bersedia bila diperlukan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Advokasi Khas Oleh Syarikat-syarikat Swasta

Penglibatan pihak swasta dan bukan kerajaan dalam kempen keselamatan jalan raya sentiasa dialu-alukan bagi memantapkan usaha-usaha yang dijalankan oleh kerajaan. Saya berasa begitu gembira melihat perkembangan positif ini dan sekalung penghargaan yang tidak terhingga saya sampaikan kepada beberapa syarikat swasta yang telah menyumbang dalam usaha murni pada tahun ini. Ribuan terima kasih diucapkan kepada pihak LLM, PLUS dan konsesi-konsesi lebuhraya yang lain yang menyediakan prasarana terbaik demi keselesaan  semua pengguna jalan raya.

Tidak lupa untuk saya ucapkan tahniah kepada kepada pihak PLUS atas pencapaian yang cemerlang pada Anugerah Keselamatan Jalan Raya Antarabangsa Prince Michael baru-baru ini sebagai mengiktiraf kejayaan PLUS melaksanakan pelbagai inisiatif keselamatan di sepanjang 1,134.1 kilometer lebuh rayanya di Semenanjung Malaysia. Anugerah ini merupakan pengiktirafan global yang besar ke arah standard keselamatan yang tinggi yang ditetapkan sendiri oleh PLUS. Ia merupakan satu penanda aras baru yang boleh dicontohi oleh  konsesi-konsesi lebuh raya yang lain dan membuktikan bahawa PLUS diiktiraf sebagai lebuh raya bertaraf dunia yang mematuhi ciri-ciri keselamatan yang tinggi di peringkat antarabangsa.

Selain itu juga, antara perkhidmatan-perkhidmatan yang akan ditawarkan oleh rakan-rakan strategik kita adalah seperti Program Coffee Break oleh Petronas Dagangan Berhad, pemeriksaan kenderaan secara percuma oleh PUSPAKOM SDN BHD, kempen penjagaan motosikal oleh SHELL Malaysia dan pemeriksaan kenderaan 32 poin percuma oleh PETRON .

Saya menyeru lebih banyak syarikat dapat bersama-sama terlibat dalam mempromosikan budaya memandu yang tertib kerana kehilangan satu nyawa merupakan kehilangan seorang pengguna atau pelanggan yang menggunakan produk atau perkhidmatan kita.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Saya juga ingin mengambil kesempatan yang ada pada hari ini untuk memahami dengan lebih baik aspek-aspek keselamatan jalan raya yang mungkin kita semua abaikan dan bagaimana kita akan dapat menggunakan pendedahan yang kita boleh perolehi pada hari ini untuk menjadikan kita semua lebih waspada dan menjadi pengguna jalan raya yang lebih selamat.

JKJR selaku penyelaras bagi kempen keselamatan jalan raya peringkat Kebangsaan akan sentiasa menyokong penuh setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya.

Inisiatif atau pendekatan baru yang dilaksanakan pelbagai pihak dalam usaha menarik minat golongan sasar khususnya anak-anak muda terhadap kempen keselamatan jalan raya harus diberi pujian  Penggunaan teknologi terkini yang melibatkan aplikasi telefon bimbit atau dikenali sebagai mobile apps berunsurkan keselamatan jalan raya harus diperluaskan memandangkan ia merupakan medium utama yang mempunyai peratusan penggunaan tertinggi peralatan elektronik dan digital seperti telefon bimbit. Ia bersandarkan kepada fakta di mana statistik kematian mengikut peringkat umur bagi tahun 2012-2018 mencatatkan bahawa jumlah kematian tertinggi adalah pada kategori umur 16 hingga 25 tahun. Sesuatu perlu diperlukan oleh kita semua mengurangkan kadar kematian di kalangan generasi muda kita.

KONSEP PAMERAN BERGERAK

Saya melihat kerjasama strategik JKJR,  Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan Tateh dalam memperkenalkan konsep pameran bergerak keselamatan jalan raya sebagai satu pendekatan atau inisiatif baru bagi merapatkan jurang maklumat antara masyarakat bandar dan luar bandar. Hebahan kempen secara interaktif ini boleh membantu memupuk kesedaran selain menarik minat masyarakat luar bandar dalam berkongsi maklumat berkaitan keselamatan jalan raya. Saya berharap kerjasama ini dapat diteruskan di masa yang akan datang.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Akhir kata, saya menyeru semua pengguna jalan raya dan lebuh raya, pandulah dengan berhemah dan patuhilah peraturan jalan raya yang telah ditetapkan bagi mengurangkan statistik kemalangan jalan raya. Marilah kita sama-sama berazam dan berusaha bagi mengurangkan kejadian kemalangan akibat dari sikap dan kelalaian kita sendiri.

Sebelum saya akhiri ucapan saya pada pagi ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak, agensi kerajaan, swasta dan NGO yang telah bekerjasama untuk menjayakan kempen ini. Jangan sesekali kita berasa penat untuk menjalankan advokasi keselamatan jalan raya.

Sempena Tahun Baru Cina yang bakal menjelang, saya ingin mengucapkan Selamat tahun Baru Cina kepada semua – GONG XI FA CAI, GONG XI GONG XI.

Maka dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Pelancaran Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena dengan Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Kebangsaan  2020.

Sesungguhnya, keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab kita bersama.

“Pandu Cermat, Sampai Selamat”

“Anda Mampu Mengubahnya”

Sekian, terima kasih.

Topik Terhangat