logo text

Bahasa Lain

aren

Log Masuk

Log Masuk

KENYATAAN MEDIA

MAJLIS PELANCARAN OPS BERSEPADU DAN KEMPEN KESELAMATAN JALAN RAYA BERSEMPENA PERAYAAN TAHUN BARU CINA PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2020

TAPAH, 16 JANUARI 2020 - Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu Bersempena dengan Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Kebangsaan Tahun 2020 yang bertemakan “Pandu Cermat, Sampai Selamat” telah dirasmikan oleh  YB Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Malaysia bertempat di Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Tapah (Arah Utara) pada hari ini.

Kempen pada tahun ini merangkumi 4 program utama iaitu program pendidikan, penguatkuasaan, pencegahan bersekali dengan pemantauan dan penilaian. Pelaksanaan Majlis Pelancaran OPS Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena dengan Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Kebangsaan Tahun 2020 bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya mengenai keselamatan di jalan raya terutama pada musim perayaan dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya selain mengawal selia pergerakan kenderaan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Mengikut Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jumlah kemalangan jalan raya pada tahun 2019 sehingga bulan November adalah sebanyak 519,913 berbanding 548,598 pada tahun 2018. Diharap jumlah keseluruhan kemalangan pada tahun 2020 menunjukkan penurunan daripada tahun sebelumnya. Bagi Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya pula menunjukkan penurunan bagi tahun 2019 dengan 5,661 kematian (sehingga November) berbanding 6,284 pada tahun 2018.

Ops Bersepadu ini akan bermula pada 18 Januari hingga 2 Februari 2020. Selain itu, terdapat larangan penggunaan jalan raya ke atas kenderaan berat dimana larangan ini akan dikuatkuasakan oleh JPJ dan PDRM dua (2) hari sebelum dan dua (2) hari selepas perayaan iaitu pada 23 dan 24 Januari serta 27 dan 28 Januari 2020. Larangan ini bertujuan untuk mengelakkan risiko berlakunya kemalangan akibat percampuran trafik antara kenderaan berat dengan kenderaan ringan selain daripada mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Sementara itu, Kementerian Pengangkutan juga akan meneruskan dasar tiada sebarang tawaran diskaun ke atas mana-mana notis kompaun yang dikeluarkan oleh JPJ bagi kesalahan lalu lintas dalam musim perayaan ini. Antara kesalahan lalu lintas yang sering dilakukan oleh pengguna jalan raya adalah seperti tidak mematuhi lampu isyarat lalu lintas, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memotong barisan, tidak memakai tali pinggang keledar, memandu di lorong kanan secara berterusan dan memandu di lorong kecemasan.

Kementerian Pengangkutan Malaysia juga telah menetapkan bahawa penggunaan tali pinggang keledar belakang dan kerusi keselamatan kanak-kanak telah diwajibkan bermula tahun 2020 dan tempoh enam (6) bulan diberikan agar pengguna jalan raya khususnya ibu bapa lebih peka dan terdidik akan kepentingan keselamatan kanak-kanak dan penumpang kenderaan sebelum penguatkuasaan yang lebih tegas dan saman bakal dikenakan bermula pada bulan Julai nanti. Oleh demikian, semua pengguna jalan raya dapat mematuhi peraturan ini yang akan dikuatkuasakan nanti.

-Tamat-

Unit Komunikasi Korporat

Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR)

Topik Terhangat