logo text

Bahasa Lain

aren

Log Masuk

Log Masuk

TEKS UCAPAN AMANAT
YBHG. DATO’ DR. TAM WENG WAH
PERHIMPUNAN BULANAN JKJR BIL 1/2015
19 JANUARI 2015 / ISNIN

Terima kasih saudari pengacara majlis.
Yang Berusaha Encik Abdul Haris bin Lakar,
Timbalan Ketua Pengarah JKJR.

Encik Mohd Rusdi bin Mohd Darus,
Pengarah Bahagian Pelaksanaan Program dan Projek.

Encik Raymond Teoh Joo Han,
Pengarah Bahagian Dasar dan Inovasi.

Puan Azwana Binti Mohamad @ Ahmad,
Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan.

Encik Mohd Zam bin Manaf,
Ketua Unit Komunikasi Korporat.

Pengarah-pengarah negeri, pegawai-pegawai dan warga JKJR sekalian.

Selamat pagi dan Salam 1Malaysia.

Saya ucapkan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian kerana sudi meluangkan masa untuk hadir ke Majlis Perhimpunan Bulanan bagi bulan Januari 2015. Ini merupakan perhimpunan bulanan kita yang pertama bagi tahun 2015. Banyak cabaran dan dugaan yang telah kita tempuh sepanjang 2014 dan baru-baru ini negara telah ditimpa musibah banjir besar terutama negeri-negeri di pantai timur. Banyak mangsa-mangsa banjir yang terlibat termasuk warga JKJR sendiri di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang. Saya berharap mereka ini tabah menghadapi dugaan dan bencana yang menimpa.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Tidak lama lagi kita akan menyambut perayaan Tahun Baru Cina pada 19 Februari 2015 dan mengikut kalender Cina pada tahun ini merupakan “Tahun kambing”. Menurut Zodiak Cina, tahun 2015 adalah Tahun Kambing Kayu, yang mulai pada tanggal 19 Februari 2015 dan berakhir pada tanggal 7 Februari 2016. Kambing adalah tanda kedelapan dari zodiak Cina yang terdiri dari 12 Shio. Angka “8” dalam kebudayaan Cina adalah salah satu angka yang dapat memberikan keberuntungan serta melambangkan perdamaian dan kemakmuran. Di Cina, ada pepatah yang sangat terkenal: “ Tiga kambing membawa harmoni dan kemakmuran”. Secara umum, orang yang lahir pada tahun Kambing Kayu adalah orang yang murah hati, adil, baik hati, lemah lembut dan peduli terhadap orang lain. Diharapkan juga tahun 2015 juga memberi semangat baru kepada warga JKJR untuk memikul tanggungjawab yang telah di amanahkan.

Tuan-puan dan Puan-puan

YAB Perdana Menteri telah menyarankan di perjumpaan PPTD di PICC pada 17 Disember 2014 bahawa perlunya ada “multiple intelligent and brain value officers” dan agensi perlu wujudkan sistem “ fast track “ untuk pegawai muda yang berkualiti wajar dinaikkan pangkat. Negara memerlukan aset kepada pegawai yang berkualiti apabila bekerja mereka ini sentiasa menerapkan value creation dan value addition. Beliau mengingatkan agar sentiasa mempunyai hubungan rapat dengan ahli politik dan perlu perkukuh hubungan melalui emotional bonding dan bukannya rhetoric. Beliau mahu setiap pegawai kerajaan membuat keputusan pantas, cepat dan tepat. Pegawai juga perlu diperluaskan pengalaman bertugas supaya dapat meningkat kecekapan dan kemahiran.

Tuan-puan dan Puan-puan

Dalam perhimpunan bulanan Kementerian Pengangkutan Malaysia pada 6 Januari 2015 yang lepas, YB Menteri Pengangkutan menyatakan bahawa tahun 2014 merupakan tahun yang begitu mencabar buat Malaysia. Negara kita diuji hebat dengan pelbagai tragedi yang amat memilukan dan menyayat hati – kehilangan pesawat MH370, nahas pesawat MH17 dan terkini bencana banjir besar terburuk semenjak tahun 1971 yang merekodkan jumlah mangsa banjir melebihi 200,000 orang di negeri-negeri pantai timur semenanjung. Sudah semestinya tragedi sebegini meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada kita semua, apatah lagi kepada ahli keluarga dan mangsa bencana tersebut ibarat peribahasa “berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul”. Beliau mengucapkan jutaan terima kasih dan merakamkan rasa bangga saya dengan usaha murni warga MOT yang turut memainkan peranan dalam melaksanakan aktiviti pengumpulan barang keperluan untuk mangsa banjir pada 26 Disember yang lalu.

Dalam pada itu, dunia turut dikejutkan dengan satu lagi tragedi yang begitu meruntun hati kita iaitu insiden pesawat Air Asia Indonesia penerbangan QZ8501 yang disahkan terhempas di perairan Indonesia berhampiran Pulau Belitung dan Selat Karimata pada 27 Disember 2014. Kita merakamkan ucapan takziah buat keluarga dan kenalan penumpang dan anak kapal pesawat QZ8501 dan turut bersedih atas insiden yang amat tragik ini. Malaysia kekal komited dalam membantu pihak berkuasa Indonesia dalam misi pencarian berterusan yang sedang dijalankan dengan bantuan 3 kapal TLDM dalam waktu-waktu yang sukar ini.

Di sebalik cabaran demi cabaran yang kita hadapi pada tahun 2014, namun ekonomi negara terus berkembang dengan pesat, mencatatkan pertumbuhan 6.1% dalam tempoh sembilan bulan pertama 2014, pencapaian tertinggi di kalangan negara-negara ASEAN. Ini merupakan satu permulaan baik untuk negara kita melangkah masuk ke tahun 2015 dan saya yakin kita akan mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi dan konsisten dalam mencapai aspirasi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Tahun 2015 bakal menjadi tahun yang amat penting buat Kementerian Pengangkutan Malaysia. Ini kerana pelbagai penganjuran persidangan bertaraf antarabangsa bakal dilangsungkan pada tahun ini termasuk ASEAN Senior Transport Officials Meeting dan ASEAN Transport Ministers Meeting. Selaku Pengerusi kepada kedua-dua mesyuarat dan persidangan ini, Kementerian Pengangkutan akan memainkan peranan yang begitu penting dalam memacu perlaksanaan program serantau yang berkaitan dengan sektor pengangkutan agar ianya selaras dengan misi dan visi ASEAN untuk menjadi sebuah rantau yang berintegrasi dengan ekonomi global.

Kementerian Pengangkutan buat pertama kalinya, bakal menjadi penganjur bersama dengan Kementerian Pertahanan dalam penganjuran LIMA 2015 yang bakal berlangsung dari 17 sehingga 21 Mac 2015 di Langkawi, Kedah. Peranan yang akan dimainkan oleh MOT kali ini adalah besar dan memerlukan kerjasama dari Jabatan dan agensi serta industri yang terlibat dalam sektor pengangkutan udara dan juga maritim.

Beliau amat berharap LIMA ’15 mampu melonjak dan menonjolkan imej dan sumbangan MOT di kalangan rakyat dan sekaligus memperbetul persepsi yang hanya mengaitkan MOT dengan isu-isu penguatkuasaan dan nahas udara. Ini merupakan satu platform yang amat baik buat kita dalam mempromosikan sektor-sektor udara dan maritim yang menekankan peranan kita sebagai enabler kepada pembangunan negara menjelang 2020.

Bengkel Pelan Strategik, Pemurnian Outcome dan KPI Kementerian Pengangkutan yang bakal diadakan dalam masa terdekat ini adalah perlu kerana pelan sedia ada hendaklah disemak dan ditambah baik. Melalui semakan ini, kita akan bersama-sama mengemaskini hala tuju Kementerian supaya selari dengan hasrat dan aspirasi Kerajaan yang kini berlandaskan konsep rakyat diutamakan.

1.           Hala tuju yang dimuktamadkan nanti mampu membantu Kementerian dalam menetapkan matlamat dan membangunkan strategi yang menyeluruh. Dengan itu, penggunaan sumber akan dapat diselaraskan dengan lebih efisien. Ini adalah penting kerana tanda aras dan key performance indicators (KPIs) Kementerian akan ditetapkan.

2.           Diharapkan dengan terbentuknya Pelan Strategik Kementerian Pengangkutan 2016-2020 ini, beliau menyeru kepada semua pihak pengurusan tertinggi, Ketua Jabatan, semua Setiausaha Bahagian dan keseluruhan warga Kementerian Pengangkutan supaya dapat memberi perhatian dan komitmen kerana kita bertanggungjawab dalam memastikan arah tuju kementerian dicapai.

Beliau berharap semua cabaran, dugaan dan kepayahan yang telah dilalui pada tahun yang lalu dapat dijadikan pedoman dan kekuatan untuk kita mengorak langkah untuk lebih maju. Memang benar bukan ianya bukan mudah, namun semangat sebeginilah yang diperlukan untuk kita terus berjaya dalam apa yang kita laksanakan. Marilah kita pupuk semangat bekerjasama sebagai satu pasukan dan hapuskan amalan kerja secara bersendirian atau work-in-silo dalam mencapai matlamat kementerian.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

Dalam majlis Amat Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, pada 6 Januari 2015 beliau menyarankan agar prestasi pengurusan kewangan yang lebih mantap. Beliau juga mengingatkan bahawa dalam keadaan ekonomi yang meruncing serta kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM) yang dialami kini, perlu memainkan peranan dengan berbelanja secara berhemah dan mengelakkan sebarang pembaziran agar kesejahteraan ekonomi negara dapat dipelihara. Beliau telah mengedarkan surat arahan penjimatan perbelanjaan mengurus kepada semua Setiausaha/Ketua Bahagian dan Ketua Pengarah/Pengarah Jabatan di bawah MOT dengan menggariskan beberapa langkah penjimatan yang perlu dipatuhi, antaranya adalah:

(i)        Memastikan tanggungan tahun lalu yang belum dijelaskan atau pelaksanaan sesuatu keputusan baharu ditampung melalui penjimatan peruntukan tahun semasa dengan penyusunan semula keutamaan perbelanjaan;

(ii)      Memastikan semua peruntukan yang diluluskan mempunyai jadual pelan tindakan supaya dapat dibelanjakan mengikut perancangan sebelum akhir tahun. Perbelanjaan secara bunching ada penghujung tahun hendaklah dielakkan;

(iii)     Mengehadkan penganjuran persidangan/ seminar/ pameran/ mesyuarat/ kursus/ bengkel/ retreat. Sekiranya perlu, ia mestilah diadakan di Pusat Latihan 1Malaysia (1MTC) dan juga kemudahan di institusi latihan milik Kerajaan;

(iv)    Mempertingkatkan usaha penjimatan penggunaan utiliti seperti air, elektrik, alat perhubungan dan bahan bakar serta bahan-bahan lain melalui penguatkuasaan peraturan dalaman masing-masing.

Langkah-langkah ini adalah sebahagian daripadanya sahaja dan beliau berharap agar ia dapat dihayati dan dilaksanakan sebaik mungkin oleh kita semua.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

Y.Bhg. Datuk Dr. Ismail bin Hj Bakar, KSU yang baru menekankan kepentingan supaya seluruh warga MOT untuk melakukan transformasi ke arah menyokong dan menjayakan Agenda Transformasi Negara yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan. Transformasi adalah bukan lagi suatu pilihan tetapi satu kemestian yang dituntut dalam era masa kini. Dua (2) faktor utama yang mencetuskan keperluan kepada transformasi, pertamanya adalah ekoran daripada timbulnya sesuatu masalah yang mana memerlukan sesuatu organisasi/individu itu untuk melaksanakan transformasi bagi menangani permasalahan tersebut. Keduanya, transformasi juga dilaksanakan apabila kita ingin menjadikan sesuatu yang sememangnya berkeadaan baik kepada sesuatu yang lebih baik atau dalam erti kata lainnya adalah nilai tambah (value added).

Dalam konteks MOT, kedua-dua faktor tersebut adalah relevan di mana transformasi perlu dilaksanakan. Beliau berhasrat untuk menggerakkan transformasi MOT melalui penekanan kepada tiga (3) aspek utama yang saya kenali sebagai 3P iaitu singkatan kepada People, Process dan Place. Apa yang di maksudkan dengan 3P ini adalah:

(i)        People merujuk kepada seluruh warga Kementerian Pengangkutan di mana setiap di antara kita perlu berubah ke arah yang lebih baik. Perubahan ini termasuklah daripada segi pemikiran, sahsiah, ilmu pengetahuan, kompetensi dan sense of urgency agar kita sentiasa responsif, relevan, cekap, cepat dan berkesan dalam memenuhi permintaan dan harapan rakyat. Ini adalah perkara paling asas kepada kita semua yang merupakan tonggak kepada MOT dan kita tidak boleh kekal selesa pada tahap pencapaian sedia ada. Never rest on your laurels. No matter how much you have done, or how successful you have been, there is always more to do, more to learn, more to achieve.

(ii)      Process pula adalah merupakan cara kerja kita dalam melaksanakan fungsi-fungsi utama Kementerian Pengangkutan. Mendepani kehendak pelanggan, stakeholders dan rakyat yang semakin meningkat dan mencabar pada masa kini, cara kerja kita tidak boleh berada pada takuk lama malah ia perlu ditambah baik dalam memastikan keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan yang kita sediakan. Proses kerja yang lapuk dan tidak relevan juga perlu disisihkan supaya outcome yang lebih pantas dan cepat dapat dihasilkan. Key Performance Indicator (KPI) yang ditetapkan juga bukan sekadar perlu dicapai, tetapi kita harus memastikan pencapaiannya melangkaui sasaran kerana kita perlu ingat bahawa KPI adalah merupakan minimum requirement dan bukannya maximum outcome.

(iii)     Place merujuk kepada organisasi sama ada MOT sendiri ataupun jabatan dan agensi di bawah MOT. Struktur dan status organisasi masing-masing perlu dikaji dan dilihat semula supaya ia efisyen dalam melaksanakan core-business yang ditetapkan serta relevan dengan keadaan semasa. Ia juga seharusnya mengoptimumkan sumber yang ada sebaik mungkin serta memupuk "breaking the silos" bagi meningkatkan kerjasama antara bahagian/jabatan/agensi dalam merealisasikan visi dan misi MOT.

Beliau berharap agar semua ketua jabatan/agensi dapat menerajui usaha di peringkat jabatan/agensi masing-masing ke arah menjayakan transformasi MOT tersebut. Inisiatif dan program yang bersesuaian perlu dirancang secara bersama di antara pihak jabatan dan pihak pekerja supaya elemen co-creation dapat diterapkan sekali gus memastikan kebolehlaksanaan apa yang dirancang. Pendekatan co-creation sebegini amat penting supaya warga kerja di peringkat akar umbi akan turut dapat menghayati objektif transformasi yang dirancang dan ianya bukanlah sekadar gah di atas kertas semata-mata. Beliau berharap agar semua ‘warga besar’ MOT dapat bersama-sama menanam azam dan komitmen sempena tahun baharu ini untuk menjayakan dan melaksanakan agenda transformasi yang dihasratkan. Walaupun pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal di hadapi, kita perlu kekal utuh bersatu sebagai 1MOT dan bangga untuk berkhidmat untuk negara.

Warga JKJR yang dikasihi,

Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada JKJR Ibu Pejabat dan Negeri di atas pelaksanaan program-program seperti Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), Pemantauan Pelaksanaan Kelab Keselamatan Jalan Raya (KKJR) dan Audit Keselamatan Jalan Raya METRA sepanjang tahun 2014. Bagi tahun 2015, saya berharap setiap kumpulan dapat meneruskan aktiviti KIK dengan menambahbaik projek sedia ada tahun 2014. Pada tahun ini juga, Anugerah KKJR Paling Aktif Peringkat Kebangsaan akan diteruskan dan saya berharap pemantauan terhadap pelaksanaan KKJR di sekolah-sekolah dapat dijalankan bagi memudahkan proses pencalonan kelak. Bagi pelaksanaan Audit Keselamatan Jalan Raya METRA pula, setiap dapatan audit hendaklah dilaporkan kepada pihak berwajib dan memastikan tindakan diambil sewajarnya. Bagi JKJR WP Kuala Lumpur dan Selangor, diharap tuan/puan dapat meneruskan program pemantauan lorong motosikal dan tapak bina MRT/LRT bagi memastikan risiko kecederaan dan kemalangan pengguna jalan raya di laluan berkaitan dapat dikurangkan. Sukacita dimaklumkan bahawa saya amat mengambil berat pelaksanaan program-program tersebut dan berharap JKJR Ibu Pejabat dan Negeri dapat melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh bagi memastikan objektif mengurangkan kematian dan kemalangan jalan raya dapat dicapai.

Tuan-tuan dan Puan-puan

Pada tahun 2014 Bahagian Pelaksanaan telah mencapai KPI sasaran yang telah ditetapkan oleh Jabatan dimana Bahagian Pelaksanaan telah melaksanakan advokasi sebanyak 60 kali setahun, kempen bersama kumpulan sasaran sebanyak 108 kali setahun, MASJA 60 kali, memproses permohonan mencari harta karun 177 setahun Hari Memperingati mangsa kemalangan Jalan Raya sekali setahun dan sebagainya.

Manakala bagi tahun 2015 pula, ada beberapa aktiviti telah di masukkan seperti Program Global Road Safety Week, community Based Program (CBP), Kempen KJR bersama Malaysia Formula 1 dan Kempen KJR bersama Malaysia Motor GP.

Jabatan Keselamatan Jalan Raya telah merancang untuk mengadakan Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan raya Peringkat Kebangsaan Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2015 pada 12 Februari 2015 yang dijangka akan dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Liow Tiong Lai, Menteri Pengangkutan Malaysia di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Bahagian Pelaksanaan Program dan Projek akan mengadakan mesyuarat bersama Wakil Perbadanan Putrajaya dan wakil komuniti Putrajaya pada 21 Januari 2015. Ini bagi membincangkan perancangan program yang akan dilaksanakan bersama penduduk setempat dan wakil PIBG Sempena Program Community Based Program (CBP) dan Global Road Safety Week yang akan dilaksanakan di Putrajaya pada tahun 2015.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Saya mengucapkan penghargaan tidak terhingga kepada semua warga JKJR yang telah menghulurkan bantuan untuk diberikan kepada mangsa banjir dalam bentuk wang mahupun barang dan sumbangan gotong-royong yang telah dilaksanakan. Semangat yang ditunjukkan dapat serba sedikit mengurangkan beban mangsa-mangsa yang terlibat dalam bencana banjir.

Dari segi perbelanjaan pula, berikan keutamaan dalam perancangan perbelanjaan. Semua peruntukan yang diterima bagi OS 20000 perlu dibelanjakan sepenuhnya selewat-lewatnya 31 Mei 2015. Peruntukan yang tidak dapat dibelanjakan perlu dimaklumkan serta-merta kepada Ibu Pejabat.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ingin menyarankan sekali lagi bahawa Tahun 2015 begitu mencabar lagi dengan kejatuhan harga minyak mentah dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang berkuasa pada 1 April 2015 dan berharap warga JKJR berazam untuk meningkat prestasi kecemerlangan diri dan jabatan agar berkhidmat dengan lebih tekun, bertanggungjawab dan kerja berpasukan yang memerlukan semangat juang yang tinggi. Saya yakin dan percaya bahawa anda mampu melaksanakannya untuk kebaikan bersama sebagai penjawat awam.

Sekian, terima kasih.


Dato’ Dr. Tam Weng Wah
Ketua Pengarah
Jabatan Keselamatan Jalan Raya
MALAYSIA













Topik Terhangat