logo text

Bahasa Lain

aren

Log Masuk

Log Masuk

Ucapan
YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Pengangkutan Malaysia
Sempena Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan Sempena Perayaan Aidilfitri 2013 Di Hadapan Bangunan Perbadanan Putrajaya


Bismillahirrahmanirrahim

Terima kasih saudara/saudari pengacara majlis.

Yang Berhormat, Datuk Fadilah Yusof – Menteri Kerja Raya
Yang Berhormat, YB Datuk Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar - Timbalan Menteri Dalam Negeri,
Yang Berhormat, Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan – Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan,
Yang Berhormat, Tan Sri Dato’ Seri (DR) Aseh Bin Hj Che Mat – Presiden Perbadanan Putrajaya,

Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian
Ketua-Ketua Pengarah Jabatan
Setiausaha-setiausaha Bahagian, Pengarah-Pengarah Bahagian dan Negeri.
Pengarah-Pengarah Urusan (CEO)
Rakan-Rakan Media
Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan para hadirin yang dihormati sekalian.


Assalamualaikum, Selamat Pagi dan Salam Satu Malaysia.


1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan rahmatNya, di bulan Ramadan yang mulia ini dapat saya menyampaikan ucapan yang penuh bermakna ini, khususnya dengan kedatangan 1 Syawal yang bakal disambut tidak lama lagi. Sebelum itu izinkan saya mengalu-alukan kehadiran YB. Datuk Fadilah Yusof – Menteri Kerja Raya, YB Datuk Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar, Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, serta semua hadirin yang telah sudi hadir ke Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan Sempena Perayaan Aidilfitri pada pagi ini.

2. Tidak lupa ucapan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur iaitu Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR), Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dan Perbadanan Putrajaya serta kerjasama dan sokongan padu semua pihak yang terlibat terutamanya daripada pihak swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa komited untuk menjayakan kempen ini pada setiap tahun.

3. Untuk makluman hadirin, inilah julung-julung kalinya usaha enam kementerian yang bertanggungjawab secara langsung ke atas keselamatan jalanraya digabungkan dalam kempen keselamatan sempena Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini selaras dengan usaha transformasi kerajaan.

4. Gabungan usaha kementerian utama ini, iaitu Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Kerja Raya, menunjukkan betapa kerajaan serius dan komited dalam melaksanakan usaha mengurangkan kadar kemalangan di jalanraya menjelang Aidil Fitri ini.

5. Tidak lupa, turut memberikan kerjasama ke arah usaha murni ini ialah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

6. Selain menggunakan konsep smart partnership ini, kempen kali ini juga buat pertama kalinya akan dijalankan melalui media sosial (twitter dan facebook) melibatkan semua pihak bertanggungjawab termasuk, JPJ, JKJR, SPAD, PDRM, PlusRonda dan sebagainya.

7. Kempen menerusi Twiter Jaya ini akan memberi peluang kepada pengguna jalan raya untuk memperolehi maklumat tertentu daripada agensi terbabit selain berkongsi pengalaman serta menyalurkan tips kepada pengguna yang lain.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.

8. Sesungguhnya usaha mengurangkan kadar kemalangan ini tidak terletak di atas bahu kerajaan semata-mata. Ianya wajar dipikul bersama pihak-pihak lain, pihak Swasta, NGOs mahu pun pemimpin-pemimpin masyarakat dan pengguna jalan raya sendiri.

9. Saya juga amat menggalakkan pihak korporat dan syarikat-syarikat swasta untuk mengambil dan mengadaptasikan keselamatan jalan raya sebagai salah satu program di bawah tanggung jawab sosial atau Corporate Social Responsibility (CSR) mereka.

10. Diharapkan pihak korporat dan syarikat-syarikat swasta komited dan dapat melaksanakan program keselamatan jalan raya atau mengambil bahagian secara aktif dalam program-program keselamatan jalan raya anjuran Kerajaan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.


11. Dengan gabungan usaha dan kerjasama yang lebih bersepadu ini, Kementerian Pengangkutan Malaysia akan sentiasa mengambil langkah untuk memperkemas dan memantapkan lagi strategi-strategi kempen kita pada masa-masa akan datang.

12. Saya amat berbangga menyaksikan pendekatan ini terus dikembangkan, khususnya kerjasama antara PDRM dan ATM yang sememangnya telah terjalin sejak beberapa tahun lalu. Kali ini, buat pertama kalinya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menyertai kempen Op Selamat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyediakan pasukan bantuan perubatan kecemasan di semua kawasan rehat dan rehat (R&R) sepanjang lebuhraya di negara ini.

13. Kerjasama ini dijalin bersama Pasukan Respons Kecemasan (ERT) sepanjang tempoh 15 hari kempen keselamatan sempena Aidilftri iaitu pada 1 hingga 15 Ogos ini. Saya amat mengalu-alukan kerjasama ini di mana usaha menyelamat dapat dilaksanakan dengan cepat kiranya berlaku kemalangan atau kejadian yang tidak diingini di sepanjang lebuhraya kita. Saya percaya dan yakin melalui kerjasama pelbagai pihak, rekod kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya pada musim perayaan ini akan mampu kita kurangkan.


Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.

14. Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya Aidilfitri ini merupakan satu usaha berterusan Kerajaan dalam memberikan kesedaran kepada semua pengguna jalan raya di Malaysia tentang betapa pentingnya aspek-aspek keselamatan jalan raya ini diutamakan terutamanya menjelang perayaan besar sebegini.

15. Saban tahun setiap kali menjelangnya musim perayaan, berita-berita utama di akhbar, TV dan Radio tidak lekang dari memaparkan berita mengenai kemalangan jalan raya dan yang lebih menyedihkan apabila mangsa yang terkorban melibatkan keluarga, saudara mara, rakan-rakan atau jiran tetangga kita. Kepulangan warga kota terutamanya ke kampung halaman yang sepatutnya disambut meriah oleh ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai telah bertukar menjadi satu tragedi dan ada yang terpaksa berhari raya di katil-katil hospital dalam satu tempoh yang lama.

16. Oleh itu adalah wajar kempen keselamatan jalan raya seperti ini dilancarkan di peringkat kebangsaan dan terus dipergiatkan serta diperhebatkan di peringkat negeri dan daerah agar jumlah kemalangan, kematian dan kecederaan pada musim perayaan Aidilfitri ini dapat dikurangkan ke tahap paling minimum yang mungkin selaras dengan tema kempen tahun ini iaitu ‘Nyawa Dihargai, Selamat ke Destinasi’.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan.


17. Jika kita melihat kepada statistik PDRM mengenai jumlah kemalangan yang direkodkan semasa Ops Selamat 1 pada musim perayaan Aidilfitri 2012, kes-kes kemalangan maut menunjukkan sedikit pengurangan daripada rekod statistik perayaan Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2011 iaitu sebanyak 12.7%.

18. Jumlah kemalangan maut pula mencatatkan sebanyak 243 kes pada tahun lalu, menurun sebanyak 46 kes berbanding Ops Sikap 24 pada tahun 2011 yang mencatatkan 289 kes kematian. Manakala jumlah kemalangan juga telah menurun sebanyak 1,669 kes iaitu daripada 19,606 kes pada tahun 2011 kepada 17,937 kes pada musim perayaan sama tahun lalu di mana purata kematian sehari juga menurun daripada 19 orang sehari pada tahun 2011 kepada 16 orang sehari pada tahun 2012.

19. Pengurangan ini adalah hasil daripada pelbagai strategi dan program keselamatan jalan raya yang dilaksanakan seperti pendidikan, penguatkuasaan, kejuruteraan, alam sekitar dan penilaian bagi tempoh di sepanjang operasi-operasi yang dijalankan termasuklah Ops Selamat oleh PDRM, Ops Hari Raya oleh JPJ dan SPAD bersama pelbagai agensi yang lain.

20. Pengurangan bilangan kes-kes kemalangan maut sebanyak beberapa peratus ini juga adalah satu petunjuk yang positif walaupun jumlah kemalangan, kematian dan kecederaan secara keseluruhannya masih lagi tinggi.

21. Rekod statistik ini membuktikan bahawa kempen keselamatan jalan raya sempena musim perayaan yang dijalankan setiap tahun oleh Kerajaan memberikan impak yang amat positif dan relevan untuk terus dilaksanakan agar pengguna-pengguna jalan raya memandu secara berhemah, peka, bertimbang rasa dan yang paling utama adalah tiba ke destinasi dengan selamat.

22. Dalam hal ini, saya amat menitik berat soal keselamatan kepada golongan penunggang dan pembonceng motosikal kerana sejumlah 1,803 atau sebanyak 63.25% kematian di atas jalan raya yang dicatatkan dari Januari hingga Mei tahun 2013 melibatkan pengguna motosikal. Jumlah keseluruhan kematian dalam tempoh tersebut adalah sebanyak 2,286 kes bagi semua kategori.

23. Pelbagai aspek harus diberi perhatian serius oleh Kerajaan bagi menangani kes-kes kemalangan yang melibatkan golongan motosikal ini dan salah satu usaha adalah dengan menggalakkan penggunaan Lorong Motosikal. Justeru, saya telah mengambil inisiatif turun padang dengan melihat sendiri keadaan Lorong Motosikal yang dibina di Lebuhraya Persekutuan pada bulan Jun lepas bersama-sama Datuk Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya.

24. Hasil tinjauan tersebut saya telah menyarankan supaya ditubuhkan satu skuad khas bagi menangani pelbagai masalah yang ada di Lorong Motosikal Exclusive dan Non-Exclusive Motorcycle Lane.


Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,


25. Pada tahun ini, satu inisiatif baru dilaksanakan oleh JKJR untuk memberi mesej-mesej keselamatan jalan raya secara lebih berkesan dengan memasang mini billboard yang memaparkan sembilan (9) mesej keselamatan jalan raya di sepanjang laluan lebuh raya selepas plaza tol untuk mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati semasa berada di atas jalan raya.

26. Sebanyak 360 mini billboard akan dipasang di beberapa laluan Lebuhraya PLUS, Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak dan Lebuhraya Timur - Barat berdasarkan frekuensi atau bilangan tinggi pengguna jalan raya yang melalui tol-tol terpilih untuk tempoh 3 minggu iaitu seminggu sebelum Hari Raya, seminggu semasa Hari Raya dan seminggu selepas Hari Raya.

27. Selain itu, JKJR juga telah memberi penjenamaan semula kepada program Rakan Keselamatan Jalan Raya atau Rakan KJR kepada nama baru iaitu IM4RoadSafety atau IM4RS. Sehingga kini IM4RoadSafety mempunyai lebih 1,000 keahlian.

28. Program ini yang berasaskan Community Based Programs akan difokuskan kepada golongan belia untuk membantu JKJR dalam aktiviti advokasi keselamatan jalan raya atau mana-mana program yang melibatkan keselamatan jalan raya di peringkat nasional, negeri dan juga daerah.

29. Golongan muda di bawah IM4RoadSafety ini merupakan kumpulan pemangkin yang akan bertindak sebagai barisan hadapan atau front liners untuk membudayakan amalan pemanduan berhemah dan mengangkat isu-isu keselamatan jalan raya ini sebagai agenda utama dalam kehidupan seharian.
30. Justeru saya menyeru supaya golongan muda dan ibu bapa dapat menyokong IM4RoadSafety ini demi memenuhi hasrat dan usaha Kerajaan untuk merealisasikan ‘1Malaysia Selamat, Wawasan Kita Bersama’ dan ‘Kemalangan Sifar’ menjelang tahun 2020.


Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,

31. Dengan anggaran lebih 51 juta kenderaan di semua lebuhraya seluruh Negara pada sepanjang musim perayaan ini, kesesakan lalulintas sudah pasti tidak dapat kita elakkan.Kesesakan lalulintas merupakan antara punca berlakunya kemalangan. Atas kesedaran ini, satu larangan atau sekatan sementara telah dikeluarkan kepada kenderaan barangan berat yang akan dikuatkuasakan oleh JPJ dan PDRM bermula 06 hingga 07 Ogos 2013 iaitu 2 hari sebelum Hari Raya Aidilfitri serta 17 dan 18 Ogos, dua hari selepas perayaan. Larangan ini bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas selain membantu melancarkan perjalanan balik kampung dan mengurangkan risiko kemalangan.

32. Di samping itu, kerja-kerja pembinaan dan penyenggaraan bagi Jalan Persekutuan, Jalan Negeri dan lebuhraya akan diberhentikan mulai 1 hingga 18 Ogos semasa musim perayaan bagi memastikan kelancaran trafik. Namun, kerja-kerja kecemasan dan kritikal adalah dikecualikan.

33. Pihak JKR dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga telah menubuhkan pasukan peronda bagi memantau kemalangan dan sebarang kerosakan jalan selain akan memastikan kerja-kerja kecemasan dilakukan dengan segera tanpa gangguan lalu lintas di jalan-jalan persekutuan.

34. Saya meminta semua pihak agar mematuhi peraturan jalanraya yang ditetapkan demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin, terutama sekal ketika aliran trafik dijangka tinggi pada hari-hari berkenaan.

35. Sebelum saya mengakhiri ucapan pada pagi ini, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kementerian, jabatan, agensi kerajaan, agensi swasta dan pihak NGO yang terlibat dalam kempen dan program-program keselamatan jalan raya pada tahun ini termasuklah kepada petugas-petugas pameran serta para hadirin hadirat yang berada di hadapan saya pada hari ini.

36. Tidak lupa juga kepada rakan-rakan media yang sentiasa bersama-sama kita dalam menjayakan kempen keselamatan ini di sepanjang musim perayaan. Sesungguhnya pihak media telah banyak memainkan peranan dalam menyebarkan maklumat serta memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya. Semoga peranan ini akan terus dilaksanakan pada masa-masa akan datang.

37. Dengan lafaz Bismillahirohmanirohim, saya dengan sukacitanya melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan Sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2013 ini.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf, Zahir dan Batin.


Sekian, terima kasih dan salam sejahtera.

Topik Terhangat