logo text

Bahasa Lain

aren

Log Masuk

Log Masuk

Article available only in Malay
TEKS UCAPAN Y.B. MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA
MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2012 DAN PERHIMPUNAN BULANAN 1MOT 2013
KEMENTERIAN PENGANGKUTAN MALAYSIA
DI AUDITORIUM BLOK D8, KOMPLEKS D, PUTRAJAYA
PADA 25 APRIL 2013
 

Yang dihormati saudara dan saudari Pengerusi Majlis
Yang Berbahagia Datuk Seri Long See Wool.
Ketua Setiausaha Kementerian
Yang Berbahagia Dato’ Yap Kin Sian
Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi)
Yang Berusaha Puan Ruhaizah binti Mohamed Rashid
Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan)
Yang Berusaha Datin Hajah Rohani binti Musa
Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia
Ketua-Ketua Pengarah Jabatan dan Agensi di bawah Kementerian

Yang Berbahagia Datuk/Datin/Tuan-tuan dan puan-puan Warga Kementerian yang saya sanjungi sekalian,
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian yang menjemput saya menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2012 dan Perhimpunan Bulanan 1MOT bagi bulan April 2013. Di kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah kepada penerima-penerima APC yang mana tuan/puan adalah aset berharga kepada Kementerian kerana sebagai warga kerja yang produktif dan cemerlang, tuan/puan merupakan pendokong utama kepada kejayaan prestasi Kementerian. Saya merasa bangga kerana dapat berkhidmat dengan warga MOT yang senantiasa memberikan komitmen dan perkhidmatan yang berkualiti ke arah mencapai hasrat dan aspirasi Kerajaan.

Warga MOT yang dihormati sekalian,

Kementerian Pengangkutan perlu meneruskan usaha untuk mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan di samping mendepani tuntutan dan ekspektasi pelanggan yang sentiasa meningkat. Kita tidak boleh sekadar berpuas hati dengan kejayaan yang lepas. Persekitaran hari ini bukan lagi seperti tahun-tahun terdahulu. Kita perlu akur bahawa “Business is not as usual” dan zaman Kerajaan mengetahui segalanya telah berlalu. Kita tidak boleh membuat andaian bahawa perkara yang betul dan releven pada masa lalu kekal releven pada hari ini. Kita perlu berubah, dalam cara kita bekerja, cara kita berfikir, cara kita berinteraksi dan cara kita bertindak hendaklah seiring dengan keadaan semasa. Kita perlu menjadi “change agent” yang menerajui perubahan di jabatan, agensi dan Kementerian. Kita telah menerapkan visi Kementerian untuk menjadi peneraju dalam sistem pengangkutan bertaraf dunia, maka seharusnya kita mempergiatkan usaha untuk menjadi yang terbaik dan tidak sekadar menanda aras kejayaan organisasi lain. Kita perlu prihatin kepada luahan hati rakyat, pengguna jalan raya, pengguna pengangkutan awam sama ada bas, keretapi, komuter mahupun kapal terbang. Selaras dengan misi Kementerian bagi memastikan sistem pengangkutan pelbagai mod yang cekap, bersepadu, selamat, mampan dan mesra pengguna.
Dalam era digital hari ini, “speed is an essence”. Warga MOT tidak boleh menunggu peluang datang menjengah. Sebaliknya hendaklah bijak mengambil peluang untuk berinovasi dan menjana idea-idea bagi menghadapi persekitaran yang kompleks dan sentiasa berubah. Perkhidmatan Kerajaan mestilah proaktif, cepat dan berinovatif.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

Baru-baru ini saya telah menghadiri Majlis Pecah Tanah Projek ‘The Development Of Advance Railway Engineering And Technology In Malaysia’ di Batu Gajah Perak yang dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri. Saya amat berbangga kerana kita berjaya menjalinkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China iaitu sejajar dengan program transformasi kerajaan dalam meningkatkan pelaburan asing yang mana Negara China adalah rakan perdagangan Malaysia yang utama. Penubuhan pusat pembuatan rolling stock CSR ZELC ini menunjukkan kepercayaan dan keyakinan yang tinggi terhadap transformasi ekonomi Negara di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri kita. Ia juga merupakan kilang yang pertama di luar Negara China dan akan menjadi pemangkin kepada industri sistem pengkeretapian di Malaysia dan menjadikan Malaysia sebagai hab pengkeretapian yang penting di rantau ini.
Selain daripada itu kita juga telah berjaya menyempurnakan hasrat rakyat dengan melancarkan dan merasmikan bangunan kemudahan tempat meletak kenderaan yang baru (Park & Ride) Sg. Besi Kuala Lumpur. Kemudahan ini telah menyediakan ruang letak kenderaan sebanyak 302 petak. Saya percaya dengan adanya kemudahan baru ini, ianya akan dapat mengatasi masalah yang dihadapi oleh pengguna stesen LRT yang memandu sendiri yang mana sebelum ini ia hanya boleh menampung sebanyak 88 buah kereta sahaja berbanding 302 petak yang disediakan sekarang. Ini merupakan salah satu kejayaaan Kementerian dalam melaksanakan program NKRA bagi penambahbaikan pengangkutan awam bandar.
Di bawah projek NKRA (UPT) ini juga,kita telah berjaya menyediakan kemudahan parkir bertingkat sebanyak 1,260 ruang letak kereta kepada pengguna pengangkutan awam di Stesen LRT Gombak. Di samping itu Kementerian juga telah berjaya membina lebih dari 20 buah kemudahan Park & Ride di stesen-stesen LRT, KTM Komuter dan ERL yang mana secara keseluruhannya kita telah berupaya menambah kira-kira 10,000 petak letak kereta untuk kemudahan pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang.

Dalam pada itu, sektor pengangkutan udara di Malaysia turut berkembang dengan pesat maka tidak hairanlah satu majlis menandatangani persetujuan persefahaman di antara kakitangan dengan Malindo Air serta pelancaran produk perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan berkenaan telah berjaya dilaksanakan.
Justeru, kemunculan satu lagi syarikat penerbangan tambang murah seperti Malindo Air ini, sekurang-kurangnya dapat menyediakan gabungan penerbangan tambang murah dan perkhidmatan premium yang konsisten kepada para penumpang seperti pilihan tempat duduk kelas perniagaan/ekonomi, in-flight entertainment, makanan percuma dan muatan bagasi percuma mengikut had muatan dan kelas tempat duduk. Dengan adanya perkhidmatan baru tambang murah seperti Malindo Air ini, maka ia dapat mewujudkan persaingan yang sihat kepada syarikat-syarikat penerbangan tambang murah lain di Malaysia.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

Kejayaan kita kecapi pada hari ini bukanlah datang dengan sendirinya tanpa kerjasama dari semua pihak. Untuk itu Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang bagi mengiktiraf sumbangan penjawat awam bagi Kementerian Pengangkutan amatlah bertepatan sekali. Dalam kita menelusuri jejak kejayaan, pengiktirafan dan penghargaan adalah merupakan suatu motivasi yang sememangnya diharapkan oleh setiap penjawat awam. Saya yakin, setiap seorang daripada tuan/puan telah memberikan komitmen yang terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Namun, tidak semua pegawai cemerlang dapat kita berikan pengiktirafan ekoran daripada kuota yang diperuntukkan setiap tahun hanyalah 8% daripada jumlah keseluruhan warga Kementerian. Majlis APC 2012 yang diadakan hari ini adalah khusus bagi mengiktiraf 47 orang warga Kementerian iaitu 35 orang pegawai MOT, tiga (3) orang pegawai Perbadanan Aset Keretapi, tiga (3) orang pegawai Lembaga Pelabuhan Kuantan dan 12 orang pegawai Jabatan Keselamatan Jalan Raya yang cemerlang dan kejayaan mereka seharusnya dijadikan sebagai pemangkin untuk kita lebih berjaya pada masa akan datang. Justeru itu, sekalung tahniah dan syabas saya ucapkan kepada mereka yang telah terpilih sebagai penerima APC 2012. Pada tahun ini juga, Kementerian bersetuju untuk meneruskan amalan pemberian Sijil Prestasi Cemerlang kepada 230 warga kerja MOT yang berjaya mendapat markah LNPT 90% dan ke atas. Sesungguhnya, penganugerahan ini adalah satu tanda pengiktirafan daripada kerajaan dan Kementerian Pengangkutan terhadap prestasi cemerlang yang telah ditunjukkan oleh tuan/puan sepanjang tahun lalu.

Kementerian juga turut mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pegawai-pegawai Kementerian, Jabatan dan Agensi yang telah berkhidmat melebihi 25 tahun dalam perkhidmatan awam. Sesungguhnya begitu besar sumbangan dan khidmat bakti yang tuan/puan taburkan dalam meletakkan Perkhidmatan Awam ditempat yang sepatutnya. Kesetiaan dan pengorbanan tuan/puan amatlah dihargai oleh negara dan pada hari ini, kita merakam ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada 676 pegawai yang akan dianugerahkan dengan Sijil Berkhidmat Lama. Semoga tuan/puan terus dapat memberikan perkhidmatan yang sebaiknya kepada Perkhidmatan Awam khususnya dan negara amnya.

Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2012. Bagi pegawai dan kakitangan yang tidak terpilih, berusahalah dengan lebih gigih untuk memastikan tahun hadapan adalah giliran anda pula.
Kekalkan semangat bekerja dalam sebuah pasukan dan terus bersatu hati mempamerkan kecemerlangan serta prestasi kerja warga MOT. Siapa tahu berkat usaha dan dedikasi tuan-tuan dan puan-puan akan dapat memperlihatkan kecemerlangan diri anda sendiri dan berpeluang untuk berdiri di atas pentas ini sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun hadapan pula.

Sekian, terima kasih.

Topik Terhangat