logo text

Bahasa Lain

aren

Log Masuk

Log Masuk

Article available only in Malay.

TEKS UCAPAN AMANAT YBHG. DATO’ DR. KETUA PENGARAH

SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN JKJR MALAYSIA

BAGI BULAN MAC 2013

Terima kasih saudari pengacara majlis.

Yang Berusaha En Sim Say Kiong, Timbalan Ketua Pengarah JKJR Malaysia.

En Mohd Rusdi Bin Mohd Darus, Pengarah Bahagian Pelaksanaan Program dan Projek.

En Raymond Teoh Joo Han, Pengarah Bahagian Dasar dan Inovasi.

Puan Azwana Mohamad @ Ahmad, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan.

Ketua-Ketua Unit dan semua Warga JKJR yang dihormati sekalian.


Selamat Petang dan Salam 1Malaysia.

Sekali lagi kita diberi kesempatan ini untuk berhimpun dalam Majlis Perhimpunan Bulanan JKJR Malaysia bagi bulan Mac 2013 dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua hadirin yang hadir serta pihak urus setia yang mengelolakan majlis perhimpunan bulanan kita pada petang ini.

Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua Warga JKJR yang telah turut serta semasa program “1 Million Women Purple Walk” yang telah pun dilangsungkan pada 17 Mac 2013 yang lalu.

Saya juga telah mengarahkan Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) untuk memberikan sijil penghargaan kepada Warga JKJR yang telah hadir pada program tersebut termasuklah kepada Warga JKJR di negeri-negeri yang terlibat sama di dalam program tersebut.

Program sebegini adalah amat baik kerana inilah peluang untuk kita warga JKJR berkumpul dan membawa ahli keluarga bersama-sama di samping beriadah dan berkenal-kenalan antara satu sama lain.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan dihormati sekalian.

Baru-baru ini, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah menyampaikan amanat beliau kepada penjawat awam di Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ketiga Belas (MAPPA XIII) Tahun 2013 yang telah dilangsungkan dengan penuh gilang-gemilang di PICC Putrajaya.

Di dalam majlis tersebut, Kerajaan akan terus merencanakan program-program bagi meningkatkan produktiviti perkhidmatan awam serta motivasi kerja penjawat awam di bawah Sistem Saraan Baru (SSB) dan Sistem Saraan Malaysia (SSM) walaupun impak utamanya kepada pangkat-pangkat dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) disetarakan dengan Perkhidmatan Awam Am.

Ini adalah kerana untuk memastikan ketiga-tiga perkhidmatan iaitu ATM, PDRM dan Perkhidmatan Awam Am disetarakan di samping mengekalkan keharmonian antara perkhidmatan beruniform dan awam.

Selain itu, landskap Perkhidmatan Awam juga bakal berubah di mana Kerajaan bersetuju secara prinsipnya supaya kelayakan masuk minimum ke Perkhidmatan Awam ditambah baik dan ditetapkan pada kelayakan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Contoh skim perkhidmatan yang terlibat antaranya adalah Pembantu Am Pejabat, Pemandu Kenderaan dan Tukang K3. Penambahbaikan skim-skim perkhidmatan ini dijangka selesai sebelum akhir tahun ini dan dijangkakan seramai 166,541 kakitangan akan menerima manfaat dari segi laluan kerjaya yang lebih baik dan sewajarnya peningkatan dalam gred gaji.

Warga JKJR yang dikasihi sekalian.

Banyak inisiatif dan penambahbaikan telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dan bakal diberikan kepada kita sebagai kakitangan awam seperti:-

  • Program Transformasi Perkhidmatan Awam
  • Memendekkan tempoh kenaikan pangkat ‘time-based’ daripada 15 tahun kepada 13 tahun.
  • Peluasan Kaedah Kenaikan Pangkat seperti Kenaikan Pangkat Laluan Pantas (Fast Track), Kenaikan Pangkat Laluan Pakar Bidang (Subject Matter Expert) dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi (High Skills).
  • Struktur jadual gaji minimum-maksimum (JGMM) ditambah baik dengan 3 kenaikan gaji tahunan(KGT).
  • Pembetulan Struktur Gaji diberikan kepada semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak 1 KGT yang diawalkan pada 1 Julai 2013.
  • Pergerakan gaji khas sebanyak 3% diberikan kepada pegawai yang mencapai dan berada di gaji maksimum tetapi tertakluk memenuhi syarat pergerakan gaji tahunan termasuklah syarat prestasi yang ditetapkan.
  • Penyambungan tempoh pegawai kontrak yang tamat kontrak pada 31 Disember 2013.

Semua pemberian ini adalah sejajar dengan falsafah yang dipegang oleh Kerajaan yang senantiasa menghargai jasa dan sumbangan penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara.

Justeru, saya menyeru semua Warga JKJR untuk meningkatkan motivasi kerja serta inisiatif-inisiatif yang bakal di kecapi ini sebagai perangsang untuk kita terus bekerja dengan lebih tekun demi untuk kemakmuran dan kesejahteraan negara yang kita cintai ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan.

Saya juga ingin memetik beberapa amanat yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr Ali Bin Hamza, Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada majlis yang sama di mana YBhg. Dato’ Sri KSN telah mengenengahkan konsep ‘Merakyatkan Perkhidmatan Awam’ bagi mempertingkatkan lagi komitmen dan kesungguhan penjawat awam dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Selain itu beliau juga menekankan satu paradigma baru dalam konteks transformasi negara yang menuntut supaya Perkhidmatan Awam perlu lebih anjal atau fleksibel dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Dengan erti kata lain, Perkhidmatan Awam haruslah sentiasa berorientasikan kepada kehendak rakyat yang sentiasa berubah pantas selari dengan gaya hidup, tahap pembangunan sosio-ekonomi negara dan pada era globalisasi dan liberalisasi masa kini.

Ini bermakna, kita semua sebagai penjawat awam tidak boleh lagi duduk dalam zon selesa (comfort and complacency) kerana ianya tidak akan membawa kita dan jabatan kepada prestasi yang cemerlang (excellent) dan akan membantutkan proses transformasi negara di dalam memberikan perkhidmatan yang relevan dan terunggul.

Justeru, apa yang harus saya lakukan adalah saya harus mempamerkan sikap tegas, berani, adil dan sanggup mengambil risiko untuk menerajui JKJR ini ke tahap prestasi yang lebih tinggi dan akan sentiasa memberi sokongan kepada semua warga JKJR untuk mewujudkan sinergi usaha dan hasrat dalam menjayakan misi, visi dan objektif JKJR ke arah ‘1Malaysia Selamat, Wawasan Kita Bersama’ menjelang tahun keramat 2020.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Tanpa kita sedari kita telah pun hampir 3 bulan melangkah di dalam tahun 2013 ini. Pelbagai program dan aktiviti yang dirancangkan pada awal tahun ini haruslah dilaksanakan mengikut tempoh masa dan haruslah juga mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) seperti mana yang telah ditetapkan.

Justeru, setiap program dan aktiviti yang dilaksanakan itu hendaklah mengikut ‘Standard Operating Procedure’ (SOP) supaya tahap kualiti perkhidmatan yang diberikan akan sentiasa tinggi mutunya dan melebihi jangkaan pelanggan dan ‘stakeholder’.

Selain itu, saya juga telah menetapkan program-program dan aktiviti-aktiviti program keselamatan jalan raya melibatkan penyertaan Menteri atau Timbalan Menteri Pengangkutan di peringkat kebangsaan dan negeri.

Betapa pentingnya untuk masyarakat pengguna jalan raya hari ini untuk terus dididik agar sentiasa mengamalkan budaya berhemah, bertimbang rasa dan mematuhi peraturan jalan raya atas rasa kesedaran yang ada dalam diri dan bukanlah atas rasa takut akan hukuman atau semasa adanya pihak berkuasa.

Jadi di sinilah terletaknya cabaran utama kepada kita bagaimana cara dan kaedah terbaik untuk kita mengubah amalan negatif masyarakat pengguna jalan raya yang telah sebati dalam jiwa mereka bahawa tidak mematuhi peraturan jalan raya adalah perkara biasa dan kemungkinan untuk diambil tindakan oleh pihak berkuasa adalah amat tipis.

Selain itu, rata-rata masyarakat pengguna jalan raya merasakan kes-kes kemalangan jalan raya yang berlaku setiap hari tidak mungkin akan berlaku terhadap mereka, keluarga malahan kepada insan yang mereka sayangi. Bila malapetaka terjadi barulah mereka hendak menyesal bak kata pepatah, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.

Maka saya menyeru semua Warga JKJR untuk meningkatkan kempen-kempen advokasi keselamatan jalan raya kepada semua lapisan masyarakat terutamanya golongan muda dan kempen-kempen keselamatan jalan raya ini juga melibatkan pelbagai pihak kerajaan yang lain dan swasta dan termasuklah NGO’s, komuniti dan pemimpin-pemimpin masyarakat. Ini juga selaras dengan slogan kita, “Keselamatan Jalan Raya, Tanggungjawab Kita Bersama”.

Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh Warga JKJR kerana dapat hadir dan mendengar amanat saya pada petang ini.

Sekian, terima kasih.

DATO’ DR TAM WENG WAH
KETUA PENGARAH
JKJR MALAYSIA

Topik Terhangat