logo text

Bahasa Lain

aren

Log Masuk

Log Masuk

TEKS UCAPAN KETUA PENGARAH JKJR MALAYSIA

SEMPENA PERHIMPUNAN BULANAN BIL.2/2013

TARIKH : 22 FEBRUARI 2013 JAM 8.30 PAGI

 

 

Terima kasih saudari pengerusi majlis.

 

Yang Berusaha, En Sim Say Kiong – Timbalan Ketua Pengarah JKJR Malaysia

 

Pengarah-Pengarah Bahagian, Pengarah-Pengarah JKJR Negeri,

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan warga JKJR yang saya hormati.

 

Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

 

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina 2013 kepada semua warga JKJR yang berbangsa Tionghoa yang telah pun meraikan perayaan ini bersama kaum keluarga dan akan disusuli dengan sambutan ‘Chap Goh Mei’ yang juga akan diraikan pada hujung minggu ini. Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Wilayah Persekutuan kepada tuan-tuan dan puan-puan, warga Wilayah Persekutuan di mana YAB Perdana Menteri telah pun melancarkan Hari Wilayah Persekutuan 2013 pada 2 Februari yang lalu.

 

Di kesempatan ini juga saya ingin mengalu-alukan kedatangan Puan Azwana Binti Mohamed @ Ahmed, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan yang baru menggantikan Puan Sharifah Azlina Syed Anuar yang bertukar ke Jabatan Audit Negara, Putrajaya berkuat kuasa 15 Februari 2013 yang lalu.

 

Saya dimaklumkan Puan Azwana telah 6 tahun berkhidmat di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan saya mengucapkan selamat datang kepada beliau. Saya yakin bahawa dengan pengalaman yang luas, beliau dapat menyumbang kepada pencapaian objektif, misi dan visi JKJR.

 

Untuk makluman semua, kekosongan jawatan Pengarah JKJR Sarawak juga telah pun diisi oleh Puan Davina Agnes Enteli, daripada APMM berkuat kuasa pada 15 Februari 2013 yang lalu menggantikan En Rano Aylwino Akat yang telah bersara secara pilihan. Selamat datang dan selamat menjadi warga JKJR saya ucapkan kepada beliau.

 

Saya juga ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua warga JKJR yang telah memberi komitmen yang cemerlang dalam menjayakan program-program keselamatan jalan raya di peringkat kebangsaan dan negeri masing-masing sempena perayaan Tahun Baru Cina 2013.

 

Berdasarkan statistik PDRM di dalam ‘Op Selamat 2’, kadar kemalangan telah mencatatkan penurunan sebanyak 4.5%, iaitu daripada 17,054 kes (2012) kepada 16,287 kes (2013). Walau bagaimanapun, kemalangan muat telah meningkat daripada 155 kes (2012) kepada 177 kes (2013), iaitu peningkatan sebanyak 14.2%. Bilangan kematian juga telah meningkat daripada 168 orang kepada 194 orang, iaitu peningkatan sebanyak 15.5%.

 

Para hadirin hadirat yang saya hormati sekalian.

Sukacita saya ingin menyampaikan amanat Ketua Setiausaha Negara semasa sesi Perjumpaan KSN Bersama Penjawat Awam Wilayah Persekutuan Labuan pada 08 Februari yang lalu yang menyeru semua penjawat awam untuk “pasang telinga dan buka mata”, yakni bagi merasai sendiri apa jua masalah dan keperluan rakyat.

 

Beliau juga menekankan konsep “Budaya Turun Padang” seperti mana yang telah saya laksanakan sejak saya menjawat jawatan Ketua Pengarah di JKJR adalah bertujuan untuk memahami perkara yang berlaku bukan sahaja di peringkat JKJR Ibu Pejabat tetapi juga yang berlaku di JKJR Negeri mencakupi pelbagai perkara seperti hal-hal pentadbiran dan pengurusan pejabat, pelaksanaan kempen advokasi keselamatan jalan raya, memahami kebajikan kakitangan serta pemantauan dasar-dasar yang sedia ada.

 

YBhg. Dato’ Sri KSN juga meminta Penjawat Awam agar lebih sensitif kepada persekitaran dan cabaran-cabaran baru khususnya dari kalangan pelanggan yang berpelajaran dan mempunyai harapan yang lebih tinggi terhadap kualiti, kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan yang diberikan.

 

Ini adalah kerana golongan terpelajar ini kini sedar akan hak-hak mereka untuk mendapat layanan yang lebih adil dan munasabah daripada agensi kerajaan terutamanya berdasarkan janji-janji seperti mana di dalam Piagam Pelanggan yang telah ditetapkan oleh agensi-agensi dan jabatan-jabatan untuk ditunaikan.

Justeru, penting bagi kita untuk terus meyakinkan orang ramai, pelanggan dan stakeholder agar terus mempercayai perkhidmatan yang diberikan oleh Kerajaan sentiasa melebihi jangkaan pelanggan dan perkhidmatan yang diberikan adalah cepat, lebih responsif dan berkualiti.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

 

Seperti mana peringatan YBhg. Dato’ Sri KSN kepada penjawat awam di seluruh Negara, Perkhidmatan Awam merupakan tonggak utama dan tulang belakang kepada pentadbiran Negara dalam mentransformasikan negara menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi dan maju menjelang tahun 2020.

 

Sehubungan itu, penjawat awam perlu menerima cabaran bagi merealisasikan tujuh hala tuju yang digariskan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini seperti berikut:

 

  1. Memastikan perpaduan nasional terus diperkukuhkan berpaksikan Gagasan 1Malaysia “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
  2. Menguruskan ekonomi dengan baik untuk memastikan pertumbuhan Negara terus berkembang dan pengagihan kekayaan kepada rakyat berdasarkan prinsip keadilan sosial;
  3. Bajet 2013 perlu dilaksanakan dengan licin, lancar dan berkesan mengikut jadual yang telah ditetapkan;
  4. Melaksanakan sepenuhnya Dasar Transformasi Nasional seperti GTP, dan ETP;
  5. Melaksanakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan.
  6. Indeks Prestasi Utama (KPI) setiap Menteri dan kementerian perlu dicapai sepenuhnya; dan
  7. Meneruskan penambahbaikan sistem penyampaian Kerajaan berdasarkan enam prinsip baru perkhidmatan awam iaitu CTI (Cepat, Tepat dan Integriti), dan PCI (Produktif, Kreatif dan Inovatif).

 

Para hadirin sekalian,

 

Sukacita juga saya maklumkan di sini bahawa Bahagian Dasar dan Pemantauan JKJR Ibu Pejabat kini telah bertukar nama kepada Bahagian Dasar dan Inovasi (BDI). Ini adalah selaras dengan saranan YAB Perdana Menteri untuk semua Jabatan/Agensi Kerajaan mewujudkan Unit Inovasi tanpa penambahan jawatan untuk memastikan program-program peningkatan inovasi dan kreativiti yang digubal dilaksanakan secara terancang dan sistematik.

 

Saya juga telah mengarahkan Bahagian Dasar dan Inovasi untuk memulakan penumbuhan Kumpulan Kreatif & Inovatif (KIK) di peringkat JKJR Ibu Pejabat dan semua JKJR Negeri. Konsep KIK ini adalah menjurus kepada penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan JKJR secara berterusan berasaskan inovasi dan kreativiti.

 

Justeru, satu taklimat awal mengenai KIK ini akan diuruskan oleh Bahagian Dasar dan Inovasi pada bulan March 2013 serta disusuli dengan pertandingan KIK di peringkat JKJR pada bulan September 2013 sebelum JKJR menyertai Hari Inovasi Konvensyen MOT yang dijangkakan akan berlangsung pada 31 Oktober tahun ini. Saya amat berharap semua JKJR Negeri dan JKJR Ibu Pejabat mempunyai sekurang-kurangnya 1 projek KIK dan penumbuhan kumpulan KIK ini hendaklah terdiri daripada gabungan bahagian dan unit.

 

Saya percaya secara tidak langsung aktiviti KIK ini akan mempereratkan jalinan dan semangat berpasukan di kalangan semua warga JKJR dan mencetuskan satu budaya kerja ‘High Performance Team’ (HPT) sekali gus memacu kecemerlangan ‘High Performance Organization’ (HPO) kepada JKJR dan Kementerian Pengangkutan (MOT).

 

Untuk makluman para hadirin, JKJR sedang dalam peringkat akhir penyediaan Pelan Keselamatan Jalan Raya 2013-2020 sebelum dikemukakan untuk kelulusan Jemaah Menteri.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

 

Baru-baru ini Kementerian Pengangkutan dan JKJR di seluruh negeri telah terlibat secara langsung dalam pelancaran ‘My Beautiful Malaysia’ di mana ianya juga dikenali sebagai Tahun Kesukarelawan. Program ini adalah untuk menyemai dan membina momentum dan semangat kesukarelawan penglibatan semua warga JKJR di dalam komuniti dan kawasan masing-masing selaras dengan ‘Program Transformasi Sosial’ atau ‘Social Transformation Programme’ (STP) yang giat dilaksanakan oleh Kerajaan berasaskan kepada proses pembinaan negara bangsa, berpandukan sistem nilai, budaya dan sikap masyarakat yang kukuh.

 

Sebagai tanda terima kasih, saya juga amat berbangga memberikan sijil penghargaan kepada semua warga JKJR yang terlibat dalam program ‘My Beautiful Malaysia’ pada hari ini dan saya amat berharap semua warga JKJR akan terus bergiat aktif dalam program-program komuniti dan kemasyarakatan yang ada di kawasan tuan-tuan dan puan-puan.

 

Para hadirin dan hadirat yang saya muliakan.

 

Dalam mempraktikkan pendekatan ‘Strategi Lautan Biru’ ianya telah dan sedang saya laksanakan dengan memperkukuhkan jalinan kerjasama JKJR dengan pelbagai pihak melalui sesi lawatan dan perjumpaan saya dengan Ketua Setiausaha di Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan termasuklah pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  yang mempunyai hubungan rapat mengenai isu-isu keselamatan jalan raya.

 

Dalam pertemuan tersebut, banyak idea-idea dan permuafakatan telah dicapai untuk memperbanyakkan program-program keselamatan dan pendidikan keselamatan jalan raya secara bersama yang melibatkan golongan belia, kakitangan kerajaan dan swasta di mana mereka semua ini adalah merupakan kumpulan sasar dalam kempen keselamatan jalan raya yang dilaksanakan oleh JKJR.

Kerjasama begini bukan saya dapat memudahkan kempen-kempen pendidikan dan keselamatan jalan raya disampaikan kepada kumpulan sasar tetapi ianya juga merupakan kerjasama pintar yang dapat mengurangkan kos dan menjimatkan tenaga kerja semua pihak. Justeru, saya menyeru semua Pengarah JKJR Negeri untuk mempertingkatkan kempen advokasi keselamatan jalan raya yang melibatkan golongan belia atau golongan muda yang kita tahu merupakan golongan yang paling tinggi terdedah dalam risiko kemalangan jalan raya di Malaysia.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

 

Saya juga dimaklumkan bahawa JKJR sentiasa komited dalam menjayakan Program Jelajah Janji Ditepati (PJJD) setiap kali diadakan di samping program ‘Jom Heboh’ oleh  Media Prima. Pada hujung minggu ini program JJD akan berlangsung di Dataran Shahbandar Kuala Terengganu pada 23 Februari 2013 (Sabtu) seterusnya di Stadium Utama Kangar pada 3 Mac 2013 (Ahad) dan Padang Majlis Perbandaran Kuantan pada 16 Mac 2013 (Sabtu).  Kepada Pengarah JKJR Terengganu, Pemangku Pengarah JKJR Perlis dan Pengarah JKJR Pahang diharapkan telah pun membuat persediaan bagi menjayakan program JJD ini. Jadikan program JJD sebagai landasan atau platform untuk kita memberi khidmat nasihat dan mempublisitikan kempen-kempen dan pendidikan keselamatan jalan raya kepada pengunjung-pengunjung yang datang.

 

Para hadirin sekalian,

 

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada pagi ini, sukacita saya menegaskan bahawa selaku penjawat awam adalah penting untuk kita pemeliharaan kepentingan awam atau ‘Custodian of the public interest’. Undang-undang, peraturan, arahan atau prosedur yang berkuat kuasa mestilah dipatuhi sepenuhnya dan kegagalan dalam pematuhan undang-undang tersebut akan membolehkan tindakan tatatertib di ambil mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 atau pun tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

 

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas dan tahniah kepada Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) dan Unit Komunikasi Korporat (UKK) yang telah bertungkus-lumus untuk menjayakan Perhimpunan Bulanan Bil.2/2013 dan juga kepada seluruh warga JKJR yang telah hadir pada majlis perhimpunan pagi ini.

 

Selamat Tahun Baru Cina 2013 dan Kong Xi Fa Cai.  

 

Sekian, terima kasih.

 

 

Dato’ Dr Tam Weng Wah

Ketua Pengarah

Jabatan Keselamatan Jalan Raya

MALAYSIA

Topik Terhangat