logo text

Bahasa Lain

aren

Log Masuk

Log Masuk

TEKS UCAPAN
AMANAT TAHUN BARU 2013
YBHG. DATO’ DR TAM WENG WAH
KETUA PENGARAH
JABATAN KESELAMATAN JALAN RAYA MALAYSIA
PADA : 22 JANUARI 2013 (SELASA) JAM : 8.30 AM

Terima kasih saudara pengacara majlis

Yang Berusaha, En Sim Say Kiong
Timbalan Ketua Pengarah JKJR Malaysia

En Mohd Rusdi Bin Mohd Darus
Pengarah Bahagian Pelaksanaan Program dan Projek

En Raymond Teoh Joo Han
Pengarah Bahagian Dasar dan Pemantauan

Puan Sharifah Azlina Syed Anuar
Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan

Pengarah-Pengarah Negeri, Ketua-ketua Unit, pegawai-pegawai serta semua kakitangan JKJR yang saya hormati sekalian.


Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2013 kepada tuan-tuan dan puan-puan semua kerana pada tahun baru 2013 saya ditukarkan ke Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) daripada Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri.

Saya juga ingin merakam terima kasih kepada Bahagian Khidmat Pengurusan yang telah berjaya menganjurkan Majlis Perhimpunan Bulanan buat julung kalinya atau pun sebagai pembuka tirai bagi tahun 2013.

Majlis ini merupakan peluang terbaik untuk saya bertemu dengan semua pengarah negeri, pegawai-pegawai dan kakitangan JKJR di peringkat Ibu Pejabat dan Negeri bagi saya menyampaikan beberapa amanat penting untuk tujuan penambahbaikan dalam JKJR khususnya dan bagi perkhidmatan awam secara amnya.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Melihat daripada sasaran “Key Performance Indicator” atau KPI 2013 bagi YB Menteri Pengangkutan Malaysia pada tahun 2013 ini, telah menetapkan index 2.88 kematian bagi setiap 10,000 ribu kenderaan berdaftar adalah merupakan kepercayaan dan cabaran kepada kita semua untuk meningkatkan usaha dalam melaksanakan advokasi dan kempen-kempen keselamatan jalan raya di seluruh negeri dengan lebih berkesan dan bersistematik.

Walaupun saban tahun Indeks Kematian Jalan Raya menunjukkan penurunan tetapi ianya masih tidak bergerak dan berkisar dalam lingkungan angka 4.0 dan 3.0 sahaja sejak sedekad yang lalu. Justeru, adalah tidak mustahil angka 2.88 ini dapat dicapai namun saya memerlukan kerjasama dan komitmen yang lebih daripada tuan-tuan dan puan-puan semua agar KPI 2.88 ini dapat direalisasikan dan menjadi kenyataan dan bukannya retorik semata-mata.

Saya juga telah dan mula melakukan beberapa perubahan dalam pentadbiran dan mengkaji semula kempen-kempen keselamatan jalan raya yang pernah dilaksanakan atau yang bakal dijalankan dengan cara memperkasakan KPI di semua bahagian, unit bermula di JKJR Ibu Pejabat dan akan diteruskan di JKJR Negeri.

Salah satu langkah proaktif yang telah mula saya laksanakan adalah Program Turun Padang KP JKJR. Program Turun Padang saya telah pun bermula dengan lawatan kerja ke JKJR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, JKJR Selangor dan JKJR Johor Bahru bagi melihat perjalanan pentadbiran pejabat dan kempen-kempen yang dilaksanakan di peringkat negeri di samping untuk beramah mesra dengan semua warga JKJR di peringkat negeri.

Saya akan membuat Lawatan Kerja ke seluruh JKJR Negeri yang lain sehingga bulan March 2013 dan besarlah harapan saya agar hasil-hasil laporan daripada Lawatan Kerja saya terdahulu di ambil perhatian serius oleh Pengarah-Pengarah Negeri sebagai iktibar atau penambahbaikan di JKJR negeri yang lain bagi mengelakkan kesalahan atau amalan kerja yang tidak mengikut peraturan dari terus dilakukan bak kata pepatah, ‘Betulkan Yang Biasa dan Biasakan Yang Betul’.

Warga JKJR yang dikasihi sekalian,

Pengalaman saya sebagai Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam (BPA) selama lebih kurang 4 tahun meletakkan BPA di antara jabatan kerajaan yang dihormati dan disegani oleh semua pihak kerajaan, swasta, NGO, masyarakat dan rakyat. Justeru saya juga menanam keazaman yang sama untuk membawa JKJR menjadi jabatan kerajaan yang dihormati dan disegani atas kejayaan-kejayaan mengurangkan kadar kemalangan maut serta pendidikan keselamatan jalan raya kepada generasi muda.

Saya juga akan menggalakkan semua bahagian dan unit untuk sentiasa mengambil peluang sebagai peneraju dan menggerakkan inisiatif-inisiatif berhubung isu-isu keselamatan jalan raya dengan jalinan kerjasama bersama pelbagai pihak seperti mana yang pernah JKJR laksanakan dengan agensi awam dan swasta dan hinggalah di peringkat antarabangsa. Contoh kerjasama yang pernah dilaksanakan oleh JKJR adalah seperti peneraju kempen advokasi pemakaian tali pinggang keledar belakang, keselamatan tayar, Topi Keledar bersama SIRIM QAS International Sdn Bhd, Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR), “Driving is a No Phone Zone”, “Decade of Action for Road Safety 2011-2020”, “3rd Malaysia-Swedish International Road Safety Seminar and Workshop”, dan banyak lagi.

Para hadirin sekalian,

Izinkan saya untuk memetik beberapa kata-kata amanat daripada YAB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia semasa Program Ke Arah Perkhidmatan Cemerlang dan Cintailah Negara Kita Bagi Bulan Januari 2013 yang telah menekankan mengenai pengukuhan perpaduan nasional dan jati diri nasional berpaksikan kepada Gagasan 1Malaysia. Di JKJR, saya melihat satu semangat perpaduan yang utuh oleh semua kita yang terdiri dari pelbagai kaum dan sepakat bekerjasama untuk membangunkan JKJR secara adil dan saksama dan bersifat “inclusive”.

YAB Perdana Menteri juga telah menegaskan akan segala perancangan, program, aktiviti, budget 2013 haruslah dilaksanakan mengikut “timeline” dan jadual yang telah pun ditentukan. Ini adalah untuk memastikan faedah yang akan diperolehi oleh rakyat tidak sengaja diperlambatkan dan memastikan semua perancangan akan berjalan licin, lancar dan haruslah melibatkan “touch point” rakyat dan sebagainya.

Beliau juga menggalakkan semua penjawat awam untuk meneruskan usaha penambahbaikan berdasarkan kepada tiga (3) aspek utama iaitu perkhidmatan yang Cepat, Tepat, Berintegriti (CTI) dan juga kepada Pemikiran yang Kreatif dan Inovatif (PCI) di samping menekankan kepada Produktiviti dan Penghasilan Mutu Kerja.

Saya juga telah mengarahkan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan untuk menyemak semula waran perjawatan di JKJR dan mewujudkan 1 (satu) bahagian atau Unit Inovasi yang akan berperanan dalam menggerakkan transformasi dan inovasi di dalam JKJR selaras dengan Agenda Transformasi Nasional seperti mana yang terkandung di dalam GTP, NKRA, ETP, EPP, “Strategic Reform Initiative”, “National Blue Ocean Summit” dan “National Blue Ocean Strategy”. (Dalaman dan Luaran)

Warga JKJR Yang Dikasihi Sekalian,

Dalam mentadbir dan menguruskan pejabat atau jabatan, saya selalu mengguna pakai prinsip-prinsip yang selalu dipraktikkan oleh mantan KSN terdahulu YBhg. Tan Sri Mohd Sidek Hassan untuk memastikan setiap tindakan dan keputusan yang dibuat adalah berlandaskan:-

 

  • Integriti – Tidak berkompromi berhubung soal integriti di mana kita melaksanakan perkara-perkara yang betul walaupun tiada siapa yang melihat.
  • Kesegeraan dan “Sense of Urgency” – Menetapkan sasaran tinggi, tempoh masa siap yang jelas serta pegawai yang dipertanggungjawabkan.
  • Mengutamakan Pelanggan – Memudah dan tidak menyusahkan, dan sentiasa meletakkan diri kita dalam kedudukan pelanggan.
  • Kolaborasi dan Kerjasama – ‘Satu Perkhidmatan, Satu Penyampaian’, “No Wrong Door Policy”. Elakkan bekerja secara silo sebaliknya optimumkan perkongsian sumber, kemudahan dan maklumat ke arah peningkatan nilai.
  • Inovasi dan Kreativiti – Mencabar status quo yakni keberanian untuk bersuara serta melakukan perubahan kerana perkara yang dilaksanakan pada hari ini mungkin tidak lagi relevan pada masa hadapan. Kita perlu sentiasa berfikir ke hadapan agar berada di hadapan keluk perubahan.
  • Konsultasi dan Penglibatan – Era “Government Knows Best” telah berlalu. Kini kita perlu sentiasa melibatkan pelbagai pihak dalam proses membuat keputusan serta penggubalan dasar dan program awam dengan cara penglibatan rakyat amnya, badan bukan kerajaan dan sektor swasta. Proses ini adalah bertujuan untuk menambah baik sesuatu dasar atau program awam supaya memberi impak yang lebih positif kepada langkap sosioekonomi Negara.
  • Aduan sebagai Hadiah – Aduan merupakan maklum balas penting bagi kita melaksanakan penambahbaikan dan peningkatan dalam perkhidmatan yang diberikan. (Sumber inovasi)
  • Menimba Ilmu dan Meningkatkan Kemahiran – Semakin tinggi kita berada di dalam perkhidmatan/organisasi, semakin lagi perlu kita mendengar serta belajar, termasuklah dari orang bawahan dan sekeliling kita. (Organisasi pembelajaran)

Saya berharap semua warga JKJR dapat mendalami nilai-nilai dan prinsip-prinsip tersebut dan mengaplikasikan dalam setiap urusan dan tindakan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Sukacita juga saya ingin menyampaikan Amanat Tahun Baru 2013 daripada YBhg. Dato’ Long See Wool, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) baru-baru semasa menghadiri ‘Penganjuran Hari Bersama BPSM’ pada 10 Januari 2013 yang lalu. Beliau telah menegaskan kepada semua warga MOT untuk memastikan setiap Dasar Transformasi Negara yang hendak dilaksanakan oleh bahagian-bahagian dan Unit-Unit di Kementerian dan Jabatan haruslah menepati kehendak rakyat, mengurangkan karenah birokrasi, membanteras rasuah dan salah guna kuasa. Beliau juga menekan agar semua warga MOT untuk melayani pelanggan dengan berhemah, berbudi bahasa dan bersopan santun, mempunyai sikap prihatin kepada golongan kurang berkemampuan, mempercepatkan proses membuat keputusan serta mengamalkan tadbir urus yang baik serta integriti yang tinggi dalam setiap tugasan.

Di dalam majlis tersebut, beliau juga telah berkongsi beberapa saranan dari YAB Perdana Menteri Malaysia dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) mengenai peranan yang harus digalas oleh semua kita sebagai penjawat awam.

PERTAMA : Kita Berperanan Sebagai “Change Agent” atau Pemacu Perubahan. Seperti mana saranan YBhg. Ketua Setiausaha Negara semasa Majlis Makan Malam bersama Peserta Kursus DPA pada 18 Disember 2012. Dalam konteks merakyatkan perkhidmatan awam kita diminta supaya menjadi “thinker, planners and implementers” bukan sahaja bagi melaksanakan urusan perkhidmatan awam yang semakin mencabar malah bersedia memberikan yang terbaik bagi memenuhi ekspektasi rakyat yang kian meningkat. Kini rakyat Malaysia merupakan komuniti yang berpengetahuan dan celik IT, kritis menganalisis dan memproses permasalahan serta pantas memperolehi dan menyebar maklumat melalui perkongsian di media sosial.

Oleh itu, kita perlu sentiasa terbuka kepada “feedback” daripada rakyat baik yang negative mahupun yang positif. Kita juga diperingatkan supaya mengadakan “engagement” sama ada melalui program bersemuka di “town hall meeting”, Advokasi, ceramah, mahupun lawatan kerja bersama Menteri atau Timbalan Menteri. Ini semua adalah antara pelbagai aktiviti ‘turun padang’ yang boleh dilakukan seperti yang diajukan oleh KSN.

Saya juga sebagai Ketua Jabatan dinasihatkan untuk selalu ‘turun padang’ serta memantau program dan projek-projek yang sedang dijalankan bagi memastikan usaha-usaha pembaharuan dan penambahbaikan adalah menyeluruh dan meluas hingga ke akar umbi.

KEDUA : Kita dikehendaki mendukung CTI dan PCI yakni enam (6) prinsip teras kepada sistem penyampaian perkhidmatan awam iaitu CEPAT, TEPAT, INTEGRITI, PRODUKTIVITI, KREATIVITI dan INOVASI. Bagi mengalas aspirasi Kerajaan ke arah Negara maju dan rakyat berpendapatan tinggi, budaya kerja CTI dan PCI perlu diamalkan bagi menterjemahkan dasar-dasar Kerajaan dan agenda pembangunan Negara.

Dalam hal ini, prinsip-prinsip CTI-PCI ini seperti mana yang disarankan oleh YAB Perdana Menteri hendaklah diamalkan dalam tugas seharian dan kita perlu sentiasa berusaha gigih untuk meningkatkan prestasi serta membawa pembaharuan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Untuk mencapai kecemerlangan, Kementerian Pengangkutan perlu menjadi organisasi yang mempunyai minda dan sikap mengejar kecemerlangan, etika yang luhur, modal insan mahir dan berpengetahuan, budaya kerja berasaskan prestasi dan barisan kepimpinan yang kompeten serta berwawasan. Oleh yang demikian, semua warga kerja MOT termasuklah di JKJR hendaklah tidak jemu untuk memikirkan kemajuan dan inovasi dan bukan sekadar berpuas hati dengan pendekatan serta kemudahan sedia ada sahaja. Maka itu, kita di JKJR harus sentiasa komited dan berusaha melakukan yang terbaik dalam semua perkara.

KETIGA : Memberi nilai tambah kepada perkhidmatan yang disampaikan kepada rakyat. Merujuk kenyataan YBhg. KSN semasa Mesyuarat Panel 3P (Panel Pemantauan Penyampaian Perkhidmatan) pada 17 Julai 2012 telah menyarankan supaya perkhidmatan awam hendaklah:

  • Peka dan responsif dengan kehendak rakyat yang mahukan perkhidmatan disampaikan dengan cepat, tepat dan berintegriti;
  • Mempertingkatkan produktiviti dan prestasi perkhidmatan walaupun dengan sumber-sumber terhad; dan
  • Menjadi lebih kreatif dan inovatif dengan memperluaskan penggunaan Strategi Lautan Biru (Blue Ocean Strategi) agar berupaya mencetuskan sesuatu dasar dengan kos yang rendah, berimpak tinggi dan dapat dilaksanakan dengan pantas.

Warga JKJR Sekalian,

Yang KEEMPAT : Bekerja dengan jujur, ikhlas dan amanah bagi memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Meningkatkan integriti diri dan takbir urus yang utuh hendaklah sentiasa dipelihara dan bersulamkan sifat rendah diri tanpa menuntut ganjaran wang ringgit, pangkat atau kedudukan.

Keluhuran peribadi yang terbentuk akan melonjakkan bukan sahaja imej perkhidmatan awam tetapi juga daya saing ekonomi Negara di peringkat antarabangsa. Misalnya Laporan Bank Dunia “Doing Business 2013” telah meletakkan Malaysia sebagai Negara ke 12 paling mudah berurus niaga di dunia, manakala laporan “World Competitiveness Yearbook 2012” telah menempatkan Malaysia sebagai Negara ke 14 paling berdaya saing di dunia sebagai informasi kita bersama.

Saya juga ingin memetik kenyataan YB Datuk Abdul Rahim Bakri, Timbalan Menteri Pengangkutan Sempena Perhimpunan Bulanan 1Kementerian pada 15 Januari 2013 yang lalu di mana YB Timbalan Menteri telah menyeru warga MOT agar lebih perkasa dan bertunjangkan prestasi atau “performance driven” serta berani melakukan penambahbaikan dan mencari kaedah baru dalam melaksanakan tugas kita serta melakukan transformasi.

YB Timbalan Menteri juga telah menyentuh mengenai isu keselamatan jalan raya dan pelbagai usaha dilakukan termasuklah kajian berkaitan keselamatan jalan raya yang telah dilaksanakan oleh JKJR, MIROS dan JPJ.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada pagi ini, rasanya elok kita ucapkan terima kasih kepada Kerajaan atas pemberian bonus sebanyak satu setengah bulan gaji sewaktu pengumuman bajet 2013 baru-baru ini. Gaji bulan Januari 2013 adalah pemberian bonus peringkat terakhir dan saya harap semua warga JKJR dapat membelanjakan pemberian bonus ini dengan berhemah.

Saya juga ingin mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru Cina “Gong Xi Fat Chai” kepada seluruh warga JKJR dan harapan saya semoga sambutan perayaan Tahun Baru Cina kali ini akan memberi kesejahteraan dan iltizam yang cukup bermakna dalam usaha kita meningkatkan imej dan peranan JKJR sebagai peneraju Kempen Keselamatan Jalan Raya di Malaysia.

“PANDU SELAMAT, TUNGGANG SELAMAT, JALAN SELAMAT. ANDA MAMPU MENGUBAHNYA”

Sekian, terima kasih.

Dato’ Dr. Tam Weng Wah

Ketua Pengarah
Jabatan Keselamatan Jalan Raya
Malaysia

Topik Terhangat