logo text

Bahasa Lain

aren

Log Masuk

Log Masuk

TEKS UCAPAN
AMANAT TAHUN BARU 2013
YBHG. DATO’ LONG SEE WOOL
KETUA SETIAUSAHA
KEMENTERIAN PENGANGKUTAN MALAYSIA
Pada 10 Januari 2013
----------------------------------------------------------------------------------------
Yang Berbahagia Dato’ Yap Kin Sian
Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi)

Yang Berbahagia Puan Ruhaizah Binti Mohamed Rashid
Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan)

YBhg. Datin Rohani bt Musa
SUB PSM selaku Pengerusi Penganjur Majlis hari ini

Ketua-Ketua Jabatan serta Agensi
Setiausaha-Setiausaha Bahagian, Ketua-Ketua Unit

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,

Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia

1. Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua warga MOT juga Jabatan dan Agensi kerana dapat hadir dan berkumpul di Majlis ini bagi memperbaharui azam serta meningkatkan semangat kekeluargaan sesama kita. Terima kasih dan sekalung penghargaan juga diucapkan kepada pihak penganjur, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia yang berjaya meneruskan kesinambungan Hari Bersama BPSM yang mula dilaksanakan pada tahun 2011.

2. Penganjuran Hari Bersama BPSM ini menunjukkan komitmen BPSM kepada pelanggan khususnya kepada warga MOT serta jabatan dan agensi dibawahnya, yang bertepatan dengan konsep untuk merakyatkan perkhidmatan melalui engagement sepertimana yang disarankan oleh YBhg. Dato’ Seri KSN. Sewajarnya program ini harus dicontohi oleh semua Jabatan dan Agensi di bawah MOT supaya semua akan mendapat manfaat khusus bagi mereka yang tidak dapat bersama kita hari ini.

3. Kepada semua yang hadir, ambillah peluang dan kesempatan ini sebaik mungkin untuk bertemu pegawai-pegawai BPSM dan bertanya apa-apa kemusykilan dan masalah samada dari segi perkhidmatan atau perjawatan dan sebagainya khususnya penjelasan ke atas isu-isu personel yang mana kita sendiri agak ragu-ragu atau kurang pemahaman.

Tuan-tuan dan Puan-puan

4. Dikesempatan ini rasanya masih belum terlambat bagi saya untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua.

5. Keazaman dan kecekalan kita dalam mengharungi cabaran sepanjang tahun 2012 yang lalu diharap dapat menjadi pemangkin untuk kita terus berusaha dengan lebih kuat lagi. Cabaran dan dugaan yang bakal kita hadapi bukanlah halangan untuk kita terus maju dan mengecapi kejayaan.

6. Saya juga bersyukur kerana saya mempunyai barisan pegawai dan kakitangan yang berwibawa dan berwawasan yang sanggup jatuh dan bangun bersama saya bagi memastikan Kementerian Pengangkutan ini terus relavan dan dipandang tinggi oleh semua orang. Saya tidak mungkin boleh melakukan seorang diri tanpa sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh anda sekalian.

7. Sebagai penjawat awam kita adalah penggerak utama Dasar Transformasi Negara di mana berjaya atau gagal dasar itu bergantung kepada sejauh mana penjawat awam melaksanakan tugas secara cekap dan berkesan.

8. Untuk itu marilah kita bertekad untuk terus berusaha memartabatkan Perkhidmatan Awam dan meningkatkan iltizam untuk memberi perkhidmatan yang terbaik dan mesra kepada orang ramai.

Hadirin sekelian,

9. Kepimpinan tertinggi negara ini sentiasa memberi ingatan kepada penjawat awam agar berusaha mengurangkan karenah birokrasi, membanteras rasuah dan salah guna kuasa, melayani pelanggan dengan cara berhemah, berbudi bahasa dan bersopan santun, mempunyai sikap prihatin kepada golongan kurang
berkemampuan, mempercepatkan proses membuat keputusan serta mengamalkan tadbir urus serta integriti dalam tugasan.

10. Apabila kita secara kolektif meningkatkan tahap perkhidmatan, manfaatnya akan dinikmati oleh kita juga. Ini kerana kita juga adalah pelanggan dalam urusan seharian kita.

11. Sempena Majlis Amanat pagi ini, izinkan saya berkongsi dengan semua saranan dari YAB Perdana Menteri sebagai pemimpin Negara dan juga KSN sebagai pemimpin perkhidmatan awam ke atas peranan yang perlu digalas oleh kita semua sebagai penjawat awam.

12. PERTAMA: kita berperanan sebagai “change agents” atau pemacu perubahan, sepertimana saranan YBhg Ketua Setiausaha Negara semasa Majlis Makan Malam bersama Peserta Kursus DPA pada 18 Disember 2012. Dalam konteks merakyatkan perkhidmatan awam kita diminta supaya menjadi “thinkers, planners and implementers” bukan sahaja bagi melaksanakan urusan perkhidmatan awam yang semakin mencabar malah bersedia memberikan yang terbaik bagi
memenuhi ekspektasi rakyat yang meningkat. Kini rakyat Malaysia merupakan komuniti yang berpengetahuan dan celik IT, kritis apabila menganalisa dan memproses permasalahan serta pantas memperolehi dan menyebar maklumat melalui perkongsian di media sosial. Oleh itu, kita perlu sentiasa terbuka kepada “feedback” daripada rakyat baik yang negatif maupun yang positif. Kita juga di peringati supaya sering mengadakan “engagement”, samada melalui program bersemuka di “townhall meeting”, advokasi, ceramah, maupun lawatan kerja bersama Menteri atau Timbalan Menteri. Ini semua adalah antara pelbagai aktiviti ‘turun padang’ yang boleh dilakukan seperti yang diajukan oleh KSN.

13. Ketua-Ketua Jabatan perlu rajin ‘turun padang’ serta memantau program dan projek-projek yang sedang dijalankan bagi
memastikan usaha-usaha pembaharuan dan penambahbaikan adalah menyeluruh dan meluas hingga ke akar umbi.

14. Harus kita ingati bahawa zaman “government that knows all” telah berakhir. Maka itu kita perlu sentiasa ingin berubah dan memperbaiki perkhidmatan, supaya kita kekal relevan mentadbir 7 Negara. Atas keperluan tersebut kita perlu memberi sokongan padu kepada aspirasi KSN supaya kita merakyatkan Perkhidmatan Awam dan mewujudkan perkhidmatan awam yang lebih mesra rakyat kerana kepuasan rakyat kini adalah keutamaan kepada Kerajaan.

15. KEDUA: kita dikehendaki mendokong CTI dan PCI, enam prinsip teras kepada sistem penyampaian perkhidmatan awam iaitu, Cepat, Tepat, Integriti, Produktiviti, Kreativiti dan Inovasi. Bagi menggalas aspirasi Kerajaan ke arah Negara maju dan rakyat berpendapatan tinggi, budaya kerja berasaskan CTI dan PCI perlu diamalkan bagi menterjemahkan dasar-dasar Kerajaan dan agenda pembangunan Negara. Untuk itu, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan seperti penubuhan 1Malaysia One Call Centre atau 1MOCC oleh YAB Perdana Menteri pada 12 Dis 2012. Dalam hal ini, prinsip-prinsip CTI-PCI ini sepertimana yang disaran oleh YAB Perdana Menteri hendaklah diamalkan dalam tugasan harian. Kita perlu sentiasa berusaha gigih untuk meningkatkan prestasi serta membawa pembaharuan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

16. Penjawat awam juga disaran supaya tidak jemu untuk sentiasa menambahbaik perkhidmatan dengan sentiasa berfikir di luar kotak untuk lebih maju pada masa hadapan. Kita perlu keluar dari zon selesa (comfort zone) dan corak kerja “business as usual”. Dengan itu penjanaan idea yang kreatif dan inovatif melalui strategi lautan biru (Blue Ocean Strategy) perlu digalakkan bagi mengubah cara bekerja yang lazim yang tidak lagi bersesuaian dengan tuntutan semasa. Sebagai contoh, Jabatan dan Agensi hendaklah memperbanyakkan lagi pemberian perkhidmatan secara online. Ini kerana dasar kerajaan kini menjurus kearah perkhidmatan awam yang kejat. Misalnya, penjajaran semula beberapa skim perkhidmatan memperlihatkan hala tuju perkhidmatan awam di masa hadapan adalah menjurus kepada penggunaan tenaga kerja secara optimum. Maka tradisi memohon pertambahan perjawatan bagi menjalankan tugas baru bukan lagi
merupakan “thought process” yang boleh diamalkan oleh Ketua Jabatan atau organisasi. Marilah kita mulakan usaha pada tahun 2013 ini dengan menerapkan budaya inovatif dalam cara bertindak di organisasi.

17. Untuk mencapai kecemerlangan, Kementerian Pengangkutan perlu menjadi organisasi yang mempunyai minda dan sikap mengejar kecemerlangan, etika yang luhur, modal insan mahir dan pengetahuan, budaya kerja berasaskan prestasi dan barisan kepimpinan yang kompeten serta berwawasan. Oleh yang demikian, wargakerja MOT hendaklah tidak jemu untuk memikirkan kemajuan dan inovasi dan bukan sekadar berpuas hati dengan pendekatan serta kemudahan sedia ada sahaja. Maka itu, kita haruslah sentiasa komited dan berusaha melakukan yang terbaik dalam semua perkara.

18. KETIGA: memberi nilai tambah kepada perkhidmatan yang disampaikan kepada rakyat. YBhg. KSN semasa Mesyuarat Panel 3P (Panel Pemantauan Penyampaian Perkhidmatan) pada 17 Julai 2012 telah menyarankan supaya perkhidmatan awam:
  • Peka dan responsif dengan kehendak rakyat yang mahukan perkhidmatan disampaikan dengan cepat, tepat dan berintegriti; 
  • Mempertingkatkan produktiviti dan prestasi perkhidmatan walaupun dengan sumber-sumber terhad; dan 
  • Menjadi lebih kreatif dan inovatif dengan memperluas penggunaan Strategi Lautan Biru (Blue Ocean Strategy) agar berupaya mencetuskan sesuatu dasar dengan kos yang rendah, berimpak tinggi dan dapat dilaksanakan dengan pantas.
19. KEEMPAT: bekerja dengan jujur, ikhlas dan amanah bagi memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Integriti diri dan tadbir urus yang utuh hendaklah dipelihara dan bersulamkan sifat rendah diri tanpa menuntut ganjaran wang ringgit, pangkat ataupun kedudukan. Keluhuran peribadi yang terbentuk akan melonjakkan bukan sahaja imej perkhidmatan awam tetapi juga daya saing ekonomi Negara di peringkat antarabangsa. Misalnya Laporan Bank Dunia “Doing Business 2013” telah meletakkan Malaysia sebagai Negara ke 12 paling mudah berurusniaga di dunia, manakala laporan “World Competitiveness Yearbook 2012” telah menempatkan Malaysia sebagai Negara ke 14 paling berdaya saing di dunia. Pengiktirafan kepada sumbangan Malaysia sebagai fasilitator hingga termetrainya perjanjian damai antara Kerajaan Filipina dengan puak pembebasan wilayah Moro serta pelantikan beberapa individu tersohor Negara dalam pelbagai forum antarabangsa telah menjulang prestij Malaysia sebagai negara yang dihormati dan diteladani diperingkat global.

20. Untuk itu, sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada kali ini, rasanya elok kita ucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan atas pemberian bonus sebanyak satu setengah bulan gaji sewaktu pengumuman bajet 2013 baru-baru ini. Saya berharap kepada anda semua gunakanlah pemberian tersebut secara berhemah. Inilah hasilnya apabila kita berkerja dengan penuh dedikasi, sesungguhnya habuan akan muncul di atas sumbangan yang kita berikan.

21. Akhir sekali saya ingin mengucapkan selamat bertugas dan teruskan kecemerlangan anda agar kita terus dipandang hebat di mata masyarakat dan sekali lagi saya ucapkan ‘Selamat Menyambut Tahun Baru’.

Sekian, terima kasih.
10 JANUARI 2013

Topik Terhangat