logo text

Bahasa Lain

aren

Log Masuk

Log Masuk

Laman Utama

PERLEMBAGAAN MAJLIS BERSAMA JABATAN
JABATAN KESELAMATAN JALAN RAYA MALAYSIA


Keahlian

1. Majlis Bersama Jabatan bagi Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Malaysia (selepas ini disebut sebagai ‘Majlis’) hendaklah mengandungi 26 orang ahli termasuk Pengerusi, Naib Pengerusi dan Setiausaha-setiausaha yang terdiri daripada 11 orang ahli dilantik oleh Ketua Pengarah JKJR (selepas ini disebut sebagai ‘Pihak Pengurusan’) dan 15 orang ahli yang dipilih oleh kakitangan Jabatan Keselamatan Jalan Raya yang mewakili pekerja-pekerja di Jabatan Keselamatan Jalan Raya (selepas ini disebut sebagai ‘Pihak Pekerja’).


Pihak Pengurusan

2. Ahli-ahli bagi Pihak Pengurusan hendaklah terdiri daripada pegawai-pegawai JKJR Malaysia yang dilantik atas jawatan masing-masing seperti berikut:-

a) Ketua Pengarah                                                                                                                  Pengerusi
    JKJR Malaysia

b) Timbalan Ketua Pengarah                                                                                                   Ahli
     JKJR Malaysia
     (Timbalan Ketua Pengarah sebagai Pengerusi Ganti semasa ketiadaan Pengerusi)

c) Pengarah Bahagian                                                                                                             Ahli
    (Dasar & Pemantauan Program)

d) Pengarah Bahagian                                                                                                              Ahli
    (Pelaksanaan Program & Projek)

e) Pengarah Bahagian                                                                                                              Ahli
    (Khidmat Pengurusan)

f) Pengarah                                                                                                                               Ahli
    JKJR Selangor @ Kuala Lumpur

g) Pengarah                                                                                                                              Ahli
    JKJR Pulau Pinang @ Perlis@ Kedah @ Perak

h) Pengarah                                                                                                                              Ahli
    JKJR Sarawak @ Sabah

i) Pengarah                                                                                                                               Ahli
JKJR Melaka @ Negeri Sembilan@ Johor

j) Pengarah                                                                                                                               Ahli
   JKJR Pahang @ Kelantan@ Terengganu

k) Penolong Pengarah                                                                                                              Setiausaha Bersama
   (Pentadbiran @ Kewangan)


Pihak Pekerja

3. Ahli-ahli bagi Pihak Pekerja hendaklah terdiri daripada pekerja Gred 48 dan ke bawah, tidak terlibat dalam membuat keputusan di Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan dipilih oleh pekerja-pekerja yang berkhidmat di Jabatan Keselamatan Jalan Raya. Peraturan bagi pemilihan ahli-ahli Pihak Pekerja hendaklah mengikut peraturan-peraturan yang akan disediakan buat permulaan oleh satu jawatankuasa yang ditubuhkan oleh pekerja-pekerja dalam Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan diluluskan oleh Ketua Pengarah, Jabatan Keselamatan Jalan Raya.

4. Pembahagian Wakil Kumpulan Pengurusan dan Kumpulan Sokongan adalah seperti berikut:

a) Seorang (1) wakil pengurusan dari JKJR Ibu Pejabat;
b) Seorang (1) wakil pengurusan dari mana-mana JKJR Negeri;
c) Seorang (1) wakil kumpulan sokongan 1 mewakili pegawai-pegawai Gred 27/32/36 dari ibu pejabat;
d) Lima (5) orang mewakili kumpulan sokongan Gred N17 iaitu seorang bagi setiap zon dari JKJR zon tengah (Selangor @ Kuala Lumpur), JKJR zon utara (Pulau Pinang @ Perlis @      Kedah @ Perak), JKJR zon Sabah dan Sarawak (SarawaK @ Sabah), JKJR zon selatan (Melaka @ Negeri Sembilan @ Johor) dan JKJR zon timur (Pahang @ Kelantan @ Terengganu);
e) Lima (5) orang mewakili kumpulan sokongan Gred N27/N32/N36 iaitu seorang bagi setiap zon dari JKJR zon tengah (Selangor @ Kuala Lumpur), JKJR zon utara (Pulau Pinang @ Perlis @ Kedah @ Perak), JKJR zon Malaysia Timur (Sarawak @ Sabah), JKJR zon selatan (Melaka @ Negeri sembilan @ Johor) dan JKJR zon timur (Pahang @ Kelantan @ Terengganu);
f) Seorang (1) wakil kumpulan sokongan mewakili Pembantu Tadbir (P/O) N17/N22 dari ibu pejabat; dan
g) Seorang (1) wakil kumpulan sokongan mewakili Pemandu Kenderaan R3/R6 dan Pembantu Am Pejabat N1/N4 dari ibu pejabat.

5. Kekosongan yang berlaku di dalam keanggotaan Pihak Pekerja hendaklah dipenuhi oleh calon-calon daripada kakitangan JKJR Malaysia yang melantik wakil yang mengosongkan jawatan itu, atau pekerja-pekerja itu sendiri.

6. Ahli-ahli bagi pihak pekerja hendaklah memegang jawatan selama tempoh 2 tahun mulai daripada tarikh pelantikan mereka dan mereka boleh terus memegang jawatan tersebut sehingga ahli-ahli yang akan mengambil alih telah dilantik/ dipilih.


Pegawai-Pegawai Majlis

7. Pegawai-Pegawai Majlis adalah terdiri daripada Pengerusi, Naib Pengerusi dan Setiausaha Bersama. Naib Pengerusi hendaklah terdiri daripada dan dipilih oleh Pihak Pekerja. Tiap-tiap pihak dalam Majlis hendaklah melantik seorang daripadanya untuk memenuhi jawatan Setiausaha Bersama.


Tujuan

8. Tujuan Majlis adalah untuk mendapatkan kerjasama yang lebih baik di antara kakitangan dengan pegawai-pegawai JKJR Malaysia yang bertujuan melicinkan lagi proses dan prosedur kerja di samping menyediakan persekitaran kerja yang lengkap dan kondusif, dan amnya untuk bertukar-tukar pandangan di antara pekerja-pekerja dengan wakil-wakil JKJR Malaysia.


Bidang dan Fungsi

9. Bidang dan fungsi majlis sebagaimana terkandung di dalam bidang kuasa majlis adalah seperti berikut:-

(i) Membincang dan memutuskan akan perkara-perkara mengenai syarat-syarat bekerja yang ada berkaitan dengan pentadbiran yang berkenaan kecuali perkara-perkara yang melibatkan dasar Kerajaan atau hal-hal perseorangan;
(ii) Membolehkan kakitangan mengambil bahagian dan lebih bertanggungjawab di atas perkara-perkara mengenai kerja-kerja mereka dan mematuhi syarat-syarat bawah mana tugas-tugas mereka dijalankan;
(iii) Menggalakkan kakitangan menerusi pengambilan bahagian dalam perbincangan-perbincangan untuk mendapat pengetahuan yang lebih lagi mengenai pentadbiran berbagai jabatan;
(iv) Mengadakan kemudahan bagi memperbaiki perjalanan dan organisasi pejabat serta peruntukan bagi menerima cadangan dan syor-syor dari kakitangan mengenai perkara ini.


Mesyuarat-mesyuarat

10. Mesyuarat-mesyuarat biasa bagi Majlis hendaklah diadakan sekali dalam tempoh 3 bulan iaitu 4 kali setahun.

11. Kuorum bagi mesyuarat Majlis hendaklah terdiri daripada 6 orang ahli Pihak Pengurusan dan 8 orang ahli Pihak Pekerja.

12. Agenda bagi mesyuarat-mesyuarat majlis hendaklah disediakan oleh Setiausaha Bersama dan dihantar oleh Setiausaha-Setiausaha tersebut kepada pihak masing-masing tidak kurang daripada 7 hari sebelum tarikh mesyuarat. Perkara-perkara yang tidak termasuk di dalam agenda hanya boleh dimasuki dengan kebenaran Pengerusi dan Naib Pengerusi.

13. Mesyuarat Khas Majlis boleh diadakan dengan permintaan Pengerusi atau Naib Pengerusi bila dikehendaki. Tarikh mesyuarat tersebut hendaklah dipersetujui oleh Pegawai-pegawai majlis. Perkara-perkara yang dibincangkan di mesyuarat tersebut hendaklah terhad kepada perkara-perkara yang dinyatakan dalam notis memanggil mesyuarat tersebut.

14. Sekiranya Pengerusi tidak dapat mempengerusikan mana-mana mesyuarat Majlis, maka ahli Pihak Pegawai terkanan boleh mempengerusikan mesyuarat Majlis dengan kebenaran daripada Pengerusi. Dalam apa keadaan sekalipun, Naib Pengerusi iaitu Pengerusi Pihak Pekerja tidak boleh mempengerusikan mana-mana mesyuarat Majlis.


Keputusan

15. Segala keputusan-keputusan majlis hendaklah dicapai secara persetujui di antara kedua-dua belah pihak.

16. Perlembagaan Majlis boleh dipinda di mana-mana mesyuarat Majlis dengan persetujuan tidak kurang daripada 50% ahli Pihak Pegawai dan 50% ahli Pihak Pekerja. Notis mengenai pindaan hendaklah diberi dan diedarkan kepada ahli-ahli Majlis sekurang-kurangnya sebulan sebelum tarikh mesyuarat. Segala pindaan perlembagaan yang telah diluluskan oleh Majlis hendaklah dikemukakan ke Bahagian Saraan, Jabatan Perkhidmatan Awam untuk kelulusan.


Pindaan Kepada Perlembagaan

17. Perlembagaan Majlis boleh dipinda di mana-mana satu mesyuarat majlis. Nota mengenai pindaan hendaklah diberi dan diedarkan kepada ahli-ahli majlis sekurang-kurangnya sebulan sebelum tarikh mesyuarat. Segala pindaan perlembagaan yang telah diluluskan oleh Majlis hendaklah dikemukakan ke Jabatan Perkhidmatan Awam untuk kelulusan.

18. Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai penggubal dasar boleh menetapkan kaedah terbaik bagi menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat dan pertentangan di antara Pihak Pegawai dengan Pihak Pekerja mengenai penggubalan dan pindaan perlembagaan Majlis. Segala keputusan yang dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam adalah muktamad selari dengan kuasa yang diperuntukkan dalam perenggan 13 Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 1992.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
(No. MBJ : 1500003)
[Diluluskan JPA bertarikh 16 Ogos 2012 dalam rujukan: JPA 112/3/2-1055 (24)]

Topik Terhangat